GAMBAR hiasan
Siraj Mohd Zaini
siraj@nstp.com.my


LELAKI tergamak menyamun rantai emas milik ibu mentuanya berusia 70 tahun di Kampung Bukit Kapar, di Klang, semalam.

Dalam kejadian jam 11.15 pagi itu, mangsa mengalami retak tulang di lengan serta bengkak di pipi akibat bergelut dengan menantunya.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Mazelan Paijan berkata, ketika kejadian, suspek berusia 43 tahun dipercayai masuk ke dalam bilik tidur sebelum menarik rantai leher yang berada pada badan mangsa.

Katanya, selepas itu, suspek melarikan diri dengan sebuah motosikal.

Menurutnya, ahli keluarga mangsa kemudiannya membuat laporan mengenai kejadian berkenaan.

“Mangsa kini dirawat di Hospital Shah Alam, Selangor (HSAS),” katanya kepada NSTP, hari ini.

Mazelan berkata, suspek kemudian ditahan sebuah rumah di Taman Meru, pada 2.30 pagi.

Beliau berkata, polis turut menahan isterinya berusia 47 tahun yang juga anak kepada mangsa.

“Siasatan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine serta mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dengan dadah,” katanya.

Katanya, suspek mengaku menyamun mangsa dan isterinya turut ditahan kerana bersubahat dalam kejadian berkenaan.

“Polis kini sedang berusaha mengesan pembeli kepada rantai emas berkenaan yang didakwa sudah dijual,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 November 2018 @ 4:41 PM