GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi
mdroji@nstp.com.my


LELAKI dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaikinya karam di Sungai Saribas, dekat jeti feri Pusa, Betong, hari ini.

Kejadian kira-kira 2 pagi itu berlaku ketika mangsa, Mohd Saufi Sabeni, 27, bersama enam lagi rakannya menaiki bot untuk ke Beladin.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, berdasarkan laporan seorang daripada mangsa yang selamat, ketika menghampiri jeti feri Pusa, bot berkenaan tiba-tiba karam selepas dipukul ombak.

Beliau berkata, enam lagi mangsa termasuk pemandu bot berkenaan berjaya berenang ke tebing.

“Sebaik tiba di tebing sungai, semua mangsa menyedari seorang rakan mereka hilang dan mereka cuba mencarinya dalam keadaan gelap.

“Difahamkan, mereka terus mencari sehingga, siang namun gagal menemui mangsa dan akhirnya kejadian itu dilaporkan kepada pihak bomba pada 11.25 pagi tadi,’ katanya.

Susulan laporan itu, gerakan mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan membabitkan enam anggota bomba, tujuh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan empat anggota polis.

“Operasi SAR dimulakan dengan kaedah pencarian ‘water surface searching’ di sekitar lokasi bot karam dan kemudian menyusuri Sungai Saribas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 November 2018 @ 4:27 PM