ANGGOTA polis dari unit Light Strike Force (LSF). FOTO Mohd Adam Arinin
Faris Fuad
faris.fuad@nstp.com.my


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menzahirkan penghargaan kepada peruntukan khas kerajaan menerusi pengumuman Belanjawan 2019 semalam yang menetapkan kepada tiga fokus utama bagi memberi manfaat kepada lebih 130,000 warga PDRM.

Tiga fokus itu ialah melaksanakan reformasi institusi, memastikan kesejahteraan rakyat dan memupuk budaya negara keusahawanan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, menerusi fokus pertama, PDRM akan mendapat manfaat melalui pelaksanaan 24 projek kerjasama awam swasta (PPP) berasaskan tender terbuka.

Katanya, ia membabitkan sekolah, kem tentera, rumah mampu milik dan balai polis serta bomba yang secara keseluruhan bernilai RM5.2 bilion.

"Dalam fokus kedua, PDRM mendapat beberapa manfaat termasuk pemberian bantuan sebanyak RM500 secara ‘one-off’ kepada pesara yang berkelayakan.

"Selain itu, kemudahan cuti tanpa rekod selama tujuh hari untuk penjawat awam yang bukan beragama Islam bagi tujuan keagamaan.

"PDRM juga berterima kasih kepada kerajaan di atas peruntukan pembangunan sebanyak RM7.1 bilion bagi sektor keselamatan serta bayaran khas sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam gred 54 dan ke bawah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, PDRM akan mengoptimumkan penggunaan segala peruntukan yang diberikan dalam perkhidmatannya supaya kualiti penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat tidak terjejas.

Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng membentangkan Belanjawan 2019 dengan memberikan peruntukan sebanyak RM5.9 bilion kepada Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 November 2018 @ 12:10 PM