ANGGOTA polis mengangkat mayat seorang lelaki yang ditemui mati dalam sebuah bilik sewa di Taiping, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
cnews@nstp.com.my


CEMBURU dan masalah kewangan dipercayai punca seorang lelaki dibunuh lelaki lain dalam bilik sewa di tingkat empat sebuah premis di Jalan Panggung, Taiping, hari ini.

Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata, dalam kejadian jam 10 pagi, mangsa, 38, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas berlaku pergaduhan dengan suspek, 27.

Katanya, kejadian itu disedari seorang saksi berusia 35 tahun yang berada bersebelahan bilik mangsa selepas dia terjaga daripada tidur sejurus terdengar bunyi bising di luar biliknya.

“Ketika saksi itu keluar dari biliknya, dia mendapati suspek dan mangsa kelihatan sedang bergaduh.

“Saksi memaklumkan dia melihat suspek mencekik leher mangsa dan ketika meleraikan pergaduhan itu, mangsa kelihatan dalam keadaan sesak nafas dan terus terjatuh.

“Ketika pihak ambulans tiba, mangsa yang tidak sedarkan diri disahkan sudah meninggal dunia di lokasi, manakala suspek berjaya diberkas,” katanya.

Katanya, siasatan awal pihak polis mendapati punca pergaduhan disebabkan cemburu dan masalah kewangan serta dipercayai ada kaitan dengan golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT).

“Suspek yang tidak bekerja kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping dan proses reman akan dibuat esok.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 November 2018 @ 6:57 PM