Nurul Hidayah Bahaudin
cnews@nstp.com.my


KERUGIAN kedai emas dalam sebuah pasar raya di Saujana Impian, Kajang dianggarkan berjumlah RM1.3 juta selepas disamun empat lelaki, hari ini.

Dalam kejadian jam 10.36 pagi, empat suspek itu yang memakai topi keledar berpenutup muka penuh turut bersenjatakan objek menyerupai pistol dan tukul besi.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian jam 11.03 pagi.

“Suspek yang bersenjatakan tukul besi dikatakan masuk ke kedai emas berkenaan sebelum melarikan barang kemas pelbagai jenis dianggarkan bernilai kira-kira RM1.3 juta.

“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek melarikan diri dengan kereta Proton Waja dipandu seorang lelaki yang menunggu dalam kenderaan itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Dzaffir berkata, siasatan di lokasi kejadian turut menjumpai dua motosikal dipercayai ditinggalkan oleh suspek.

“Pemeriksaan terhadap motosikal mendapati kenderaan itu dilaporkan hilang sebelum ini.

“Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Unit Anjing Pengesan (K9) dipanggil bagi melakukan siasatan di lokasi kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Video ketika kejadian itu turut tular di laman sosial sejak tengah hari ini.

Dalam video itu, kelihatan seorang lelaki berada di luar premis terbabit sebelum beberapa lagi penjenayah berlari keluar menuju ke pintu masuk pasar raya berkenaan.

Mereka dilihat menaiki kereta Proton Waja dan meninggalkan dua motosikal di luar premis terbabit.

Pada 11 Mei lalu, kedai emas berkenaan pernah disamun empat penjenayah yang melarikan barang kemas bernilai RM2 juta sebelum suspek ditahan di sebuah premis di Seremban, Negeri Sembilan dalam serbuan jam 3 petang, tiga hari kemudian untuk membantu siasatan kes rompakan berkenaan.

Berita berkaitan

Kedai emas disamun lagi...

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 November 2018 @ 6:27 PM