MOHD Siraj (tengah) bersama Ibu, Jamilah dan kakak, Roziatul Syatilla di HUKM, Cheras.
Garret Dawum
cnews@nstp.com.my

Kuala Lumpur: “Syukur kepada Allah SWT wang RM50,000 diperlukan untuk menampung kos pembedahan adik saya sudah cukup seminggu selepas kisahnya disiarkan Harian Metro.

“Lebih menggembirakan dan melegakan saya, pembedahan adik akan dilakukan esok (hari ini) berbanding 15 November yang dijadualkan sebelum ini,” kata Roziatul Syatilla, 26, kakak kepada penghidap masalah jantung Hypertrophic Cardiomyopathy (HCM) Mohd Siraj Munir Ikmal Rosle, 22.

Katanya, RM50,000 berkenaan akan digunakan untuk menampung kos pembedahan bagi memasang alat Implanted Converter Defribillator (ICD) pada badan adiknya yang juga orang kurang upaya (OKU) fizikal, Erb’s Palsy atau urat tangan terputus.

“Alhamdulillah dan terima kasih yang tidak terhingga buat pemberi sumbangan terutama pembaca Harian Metro, sanak-saudara dan kenalan.

“Sumbangan semua pihak memberi sinar baharu kepada adik saya untuk menamatkan pengajian dan mencapai cita-cita sebagai ahli farmasi,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, Mohd Siraj kini ditempatkan di Unit Rawatan Koronari (CCU) Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) sebagai persediaan menjalani pembedahan, hari ini.


LAPORAN Harian Metro 25 Oktober lalu.

“Adik dalam keadaan stabil, cuma dia berdebar-debar. Kami difahamkan pembedahan memasang ICD akan mengambil masa selama empat jam.

“Harap semuanya berjalan lancar dan saya mohon rakyat Malaysia mendoakan Mohd Siraj. Doakan tahap kesihatannya bertambah baik dan kembali memburu impian bergelar ahli farmasi.

“Hanya Allah saja dapat membalas jasa semua orang yang membantu mencukupkan kos pembedahan adik,” katanya.

Pada 25 Oktober lalu, Harian Metro menyiarkan kisah Mohd Siraj yang menghidap HCM dan perlu dibedah segera.

Pembedahan segera itu disarankan doktor kerana HCM boleh menyebabkan jantung Mohd Siraj berhenti berdegup secara tiba-tiba hingga mengancam nyawanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 November 2018 @ 10:39 AM