LEE (berdiri dua dari kanan) melihat demonstrasi menyelamatkan mangsa di tempat terkurung pada Seminar Khas Media dan Cabaran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Dalam IR 4.0 di NIOSH Bandar Baru Bangi, Bangi, semalam. FOTO Luqman Hakim Zubir.
Meor Riduwan Meor Ahmad; Nor Azizah Mokhtar dan Mohd Fadly Samsudin
cnews@nstp.com.my


MAJIKAN di negara ini termasuk syarikat media perlu menyediakan bajet khusus bagi mempertingkatkan ilmu keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) kepada semua kakitangannya setiap tahun.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pihaknya mendapati kesedaran pengamal media terhadap KKP masih rendah, sedangkan persekitaran pekerjaan mereka sentiasa terdedah kepada risiko kemalangan atau kecederaan.

Beliau berkata, majikan tidak sepatutnya menganggap soal keselamatan satu bebanan yang perlu dijimatkan.

“Banyak (pengurusan) syarikat yang saya temui, bila ditanya bajet untuk KKP ini, mereka beritahu tiada bajet. Kita faham dalam keadaan ekonomi kurang menarik, pelbagai langkah dilakukan syarikat bagi menjimatkan kos operasi.

“Namun, kita (syarikat) tidak boleh memikirkan keselamatan seseorang pekerja sebagai satu kos. Andaikan mereka terbabit kemalangan, syarikat yang rugi kerana kehilangan aset terlatih hingga menjejaskan produktiviti.

“Majikan jangan anggap ia bebanan, sebaliknya satu keprihatinan untuk kebajikan dan keselamatan pekerja,” katanya kepada media selepas merasmikan program Seminar Khas Media Serta Cabaran Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Dalam Revolusi Industri (IR) 4.0 di Bangi, semalam.

Seramai 50 wakil media daripada pelbagai agensi menghadiri seminar berkenaan.

Lee berkata, pihaknya mencadangkan syarikat media membuat pelaburan membeli peralatan moden yang boleh melindungi keselamatan wakil media.

Beliau berkata, misalnya dron boleh digunakan untuk meninjau tempat bencana tanpa perlu wartawan pergi ke lokasi yang berisiko berkenaan.

Sementara itu, beliau menasihati pengamal media supaya mengetahui hak berkaitan KKP, sekali gus dapat bertugas dalam keadaan selamat dan sihat.

“Oleh kerana banyak syarikat didapati tiada bajet untuk KKP, pekerja perlu memainkan peranan menuntut hak mereka.

“Katakan mereka ditugaskan membuat liputan di kawasan kebakaran atau pencemaran alam sekitar, jika majikan tidak sediakan peralatan untuk melindungi keselamatan, mereka boleh menolak membuat tugasan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya bercadang mengadakan Program Induksi Keselamatan percuma kepada pengamal media bagi meningkatkan pengetahuan berkaitan KKP pada awal depan.

“Saya sudah berbincang dengan pengurusan NIOSH dan arahkan mereka menghubungi syarikat media untuk mendapatkan kerjasama.

“Program sehari itu akan mendedahkan peserta pemahaman aspek perundangan dan kepentingan menggunakan peralatan perlindungan diri ketika bertugas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 November 2018 @ 12:32 AM