SHAMSUL Iskandar Mohd Akin. FOTO arkib NSTP
Siti Nur Mas Erah Amran

“Saya dijemput pemandu peribadi di lapangan terbang sejurus tiba dari Colombia atas urusan rasmi.

“Oleh sebab dah lambat, saya minta dihantar terus ke pusat pemilihan PKR sebab takut terlepas dan tak sempat bertukar kenderaan.”

Keadaan itu menyebabkan Naib Presiden PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, berada dalam situasi ‘menyukarkan’ apabila gambarnya menggunakan kereta rasmi kerajaan ke pusat pemilihan PKR di Batu Pahat, Johor, tersebar di media sosial.

Malah, Timbalan Menteri Industri Utama itu tidak menolak kemungkinan dikenakan tindakan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) berikutan insiden terbabit.

“Agak sukar untuk saya bertukar kenderaan pergi dan balik, terutama apabila setiap kali pulang dari lawatan rasmi.

“Dari lapangan terbang, saya ke pusat pemilihan dan kemudian pulang ke pejabat.

“Saya tak ada masalah kalau JPP nak kenakan tindakan sebab sebelum ini pun dah banyak kali dapat surat amaran,” katanya ketika ditemui di Lobi Parlimen, hari ini.

Beliau diminta mengulas berhubung gambar kereta rasminya model Proton Perdana yang dikatakan dilihat di perkarangan pusat pemilihan PKR di Batu Pahat, 30 September lalu dan tersebar di media sosial.

Berikutan itu, seorang ahli parti menghantar surat bantahan kepada Pengerusi JPP, Datuk Rashid Mohd Din.

Shamsul Iskandar yang juga Ahli Parlimen Bukit Katil, bagaimanapun menegaskan tetap berpegang kepada prinsip pemimpin parti tidak boleh menyalahgunakan aset kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 November 2018 @ 9:21 PM