Johari semasa sidang media di Parlimen hari ini sementara gambar kanan adalah keratan blog Kadir yang dikemas kini.
Siti Nur Mas Erah Amran
cnews@nstp.com.my


“INI bukan kali pertama beliau mengeluarkan artikel begini dan pastinya ramai akan baca sebab dia ada ramai pengikut,” tegas Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul.

Sehubungan itu beliau meminta polis menyiasat tokoh wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin, berhubung artikelnya yang didakwa menghina dan memburukkan institusi diraja terutama Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Katanya, tulisan Kadir boleh mencetuskan prasangka seolah-olah baginda mengambil kesempatan dan menyalah guna kedudukan sebagai Sultan.

“Sebagai wartawan, memang ada kebebasan media dan tulislah apa saja, tetapi kenalah ada etika.

“Kalau beliau ada masalah dengan Sultan, buat aduan rasmi dan bukannya menyindir menerusi penulisan yang boleh mencemari institusi diraja,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.

Johari berkata, laporan polis akan dibuat dalam masa terdekat bagi membolehkan siasatan dibuat.

“Saya sebagai rakyat Kedah terkesan dengan tuduhan terhadap Sultan.

“Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga digalak membuat laporan polis,” katanya.

Kadir yang juga Penasihat Media dan Komunikasi Pejabat Perdana Menteri memuat naik artikel bertajuk ‘Rakyat perlu tahu peruntukan belanja buat Raja’ menerusi blognya pada 30 Oktober lalu.

Beliau juga disiasat mengikut Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan selepas pihak polis menerima tiga laporan berhubung artikel berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 November 2018 @ 4:04 PM