DATUK Bandar Johor Bahru, Amran A Rahman. FOTO Malai Rosmah Tuah
Mary Victoria Dass
maryvictoria@nstp.com.my


PERMOHONAN dan bayaran pembaharuan lesen perniagaan bagi tahun depan perlu dijelaskan kepada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) selewat-lewatnya 30 November ini.

Datuk Bandar, Amran A Rahman berkata, bayaran berkenaan perlu dijelaskan 30 hari sebelum tarikh lesen terbabit tamat pada 31 Disember depan.

Menurutnya, ini berikutan, masih ramai pemegang lesen masih belum memperbaharui lesen premis mereka.

“Bagi mana-mana pemegang lesen yang tidak membuat permohonan memperbaharui lesen dalam tempoh yang ditetapkan, iaitu 30 November ini, bayaran penalti kelewatan akan dikenakan.

“Jumlahnya adalah sebanyak 10 peratus daripada kadar lesen bermula pada 1 Disember ini,” katanya di Mesyuarat Penuh Bilangan Sembilan Tahun 2018 MBJB, di Johor Bahru, hari ini.

Amran berkata, bagi pemegang lesen yang gagal mengemukakan permohonan pembaharuan lesen sehingga 31 Disember ini, tindakan pembatalan ke atas lesen perniagaan akan diambil mulai 1 Januari depan.

“Pengurusan syarikat perlu mengemukakan permohonan baru serta menyediakan dokumen yang lengkap untuk mendapatkan lesen mereka, sekiranya lesen mereka dibatalkan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, orang ramai tidak seharusnya melepaskan peluang menikmati diskaun 50 peratus untuk semua kompaun MBJB mulai 1 Oktober lepas hingga 31 Disember ini.

“Bayaran kompaun kecuali yang berstatus operasi penguatkuasaan itu boleh dibuat di beberapa tempat termasuklah kaunter setempat MBJB, pejabat cawangan Johor Jaya, kaunter bergerak MBJB dan sebagainya.

“Bagaimanapun, kadar pengurangan bayaran kompaun itu akan kembali seperti biasa berkuatkuasa 1 Januari 2019,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 November 2018 @ 3:12 PM