Azhar Azizan (kanan) bersalam dengan wakil parti politik yang hadir pada majlis Perbincangan Berkaitan Isu-isu Daftar Pemilih Parti Politik. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Irwan Shafrizan Ismail dan Hashini Kavishtri Kannan
cnews@nstp.com.my


SEBANYAK 32 daripada 51 parti politik bersetuju dengan keputusan kerajaan menurunkan had umur kelayakan mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, tiada bantahan dinyatakan wakil parti politik terbabit berhubung perkara berkenaan dalam sesi perbincangan kedua-dua pihak.

“Semua wakil daripada 32 parti politik yang hadir hari ini tidak mengemukakan sebarang bantahan berhubung had umur itu.

“Dalam perbincangan ini juga, parti politik turut bersetuju dengan cadangan pendaftaran mengundi secara automatik.

“Perkara ini sudah mendapat persetujuan kerajaan sebelum ini, bagaimanapun ia perlu diberi penelitian dalam perkara tertentu seperti aspek pertukaran alamat, selain turut memerlukan pindaan undang-undang dan pastinya mengambil sedikit masa,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Pada 19 September lalu, Kabinet bersetuju menurunkan had umur kelayakan mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun yang dijangka dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, bagi tujuan itu, beberapa pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan akan dilakukan.

Sementara itu, Azhar berkata, tujuan perbincangan adalah untuk mencari jalan penyelesaian terhadap beberapa isu yang sering dibangkitkan berkaitan daftar pemilih.

Katanya, antara perkara yang berbangkit termasuk usaha mengemas kini dan pembersihan daftar pemilih, cadangan pelantikan penolong pendaftar pemilih daripada wakil parti politik diwujudkan semula dan isu lokaliti yang tidak wujud.

Dalam perkembangan berkaitan, Azhar berkata, SPR kini dalam peringkat untuk melakukan analisis terhadap proses persempadanan semula yang dibuat sebelum ini bagi meneliti sama ada ia adil dan mengikut peruntukan undang-undang khususnya jadual ke-13 dalam perlembagaan.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, kita tak boleh adakan proses persempadanan semula, ia dibuat sekali dalam lapan tahun, kalau kita nak buat ia akan jadi tidak ikut perlembagaan.

“Jadi kita boleh buat analisis, sekiranya persempadanan semula yang dibuat tahun lalu bercanggah dengan perlembagaan, maka SPR akan mengambil beberapa tindakan tertentu.

“Jika ia tidak adil dan tidak ikut perlembagaan, maka saya ingin buat cadangan bagaimana proses sebenar perlu dilakukan tetapi ia sekadar cadangan sahaja, bukannya melakukan proses persempadanan semula, kerana perlu tubuhkan jawatankuasa selain mengambil pandangan ramai pihak termasuk ahli akademik,” katanya.

Dalam pada itu ditanya mengenai laporan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) merekodkan 10 kesalahan dan salah laku pada Pilihan Raya Kecil (PKR) Parlimen Port Dickson membabitkan calon Pakatan Harapan (PH) dan PAS, Azhar berkata, SPR sudah menerima laporan berkenaan, namun beliau belum menelitinya.

Sementara itu, katanya, SPR sudah menerima sebanyak 15,933 permohonan pendaftaran pemilih baharu daripada warganegara yang layak dan 7,044 permohonan pertukaran bahagian pilihan raya daripada pemilih berdaftar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Oktober 2018 @ 6:39 PM