FOTO Hiasan
Hidayatul Akmal Ahmad
hidayatulakmal@nstp.com.my


KERAJAAN bakal menanggung beban kos rawatan mencecah RM7.4 bilion pada 2025 jika kawalan tembakau tidak diperkukuhkan di negara ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kajian unjuran kementerian tahun lalu menunjukkan keadaan itu akan berlaku jika tabiat merokok tidak berkurangan.

“Kos ini dibuat berdasarkan kajian Kos Penjagaan Kesihatan Kerana Merokok di Malaysia dengan mengambil kira pertumbuhan penduduk 1.5 peratus dalam tempoh lima tahun,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan asal Tuan Wong Shen (PH-PKR Subang) yang mahu mengetahui sama ada kerajaan bersetuju mengumpul dan menerbitkan data komprehensif berhubung kos ekonomi akibat tabiat merokok.

Dr Dzulkefly berkata, data komprehensif dapat membantu pihaknya memperkukuhkan kawalan tembakau di negara ini seperti digariskan Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau.

“Kajian menunjukkan harga rokok perlu dinaikkan bagi mengurangkan bilangan perokok, sekali gus meningkatkan ekonomi negara susulan pengurangan beban rawatan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata, kajian pada 2007 menunjukkan kos tahunan merawat tiga penyakit berkaitan merokok iaitu kanser paru-paru, serangan jantung dan Sekatan Pulmonari Kronik (COPD) adalah RM2.92 bilion.

Katanya, sebanyak 67.5 peratus daripada kos itu dibiayai kerajaan manakala 32.5 peratus ditanggung pesakit.

“Jumlah ini bersamaan 0.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan ia adalah beban kewangan besar kepada kerajaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Oktober 2018 @ 4:36 PM