GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Balqis Jazimah Zahari

KERAJAAN Perak bercadang meminda undang-undang berkaitan poligami di negeri itu yang membolehkan seseorang suami berkahwin lain tanpa perlu kehadiran atau mendapatkan keterangan isteri di mahkamah syariah.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi berkata, pindaan itu secara tidak langsung memudahkan proses poligami di dalam negeri serta mengurangkan pernikahan poligami di luar negara.

"Kita bercadang meminda Seksyen 23 Undang-Undang Perkahwinan Islam Tahun 2004 berkaitan keperluan isteri pertama untuk hadir sekiranya suami mahu berpoligami.

“Di mana dalam seksyen itu apabila ada permohonan daripada pihak suami untuk berpoligami, maka kehadiran isteri pertama di mahkamah adalah diwajibkan supaya mahkamah menemubual dan meminta beberapa penjelasan daripada isteri.

“(Bagaimanapun), sesetengah isteri keberatan untuk hadir ke mahkamah, kadang-kadang mahkamah terikat dengan peruntukan yang ada (Seksyen 23) dan tidak boleh membuat keputusan (membenarkan poligami atau tidak) sehingga isteri pertama hadir ke mahakamah," katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas merasmikan Seminar Mendepani Cabaran Keibubapaan: Memahami dan Membentuk Peribadi Cemerlang Anak Peringkat Negeri Perak, melancarkan portal jodoh, Cinta Sakinah serta melancarkan Modul Kefahaman Poligami di Ipoh, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin dan Ketua Pegawai Eksekutif KPerak, Mohd Nazaruddin Mohd Yusoff.

Asmuni berkata, sekiranya pindaan itu dilakukan yang mana perkataan ‘diwajibkan' ditukar kepada ‘boleh lah,’ maka mahkamah boleh menggunakan budi bicara sama ada memanggil isteri untuk datang atau tidak.

Pada masa sama, katanya, isu berkaitan isteri hendak datang atau tidak ke mahkamah juga tidak akan berbangkit.


ASMUNI (dua kiri) merasmikan Seminar Mendepani Cabaran Keibubapaan Memahami dan Membentuk Peribadi Cemerlang Anak Peringkat Negeri Perak serta Pelancaran Laman Web Jodoh Cinta Sakinah JAIPK dan Pelancaran Modul Kefahaman Poligami Peringkat Negeri Perak. FOTO Muhaizan Yahya

Sementara itu, Mohd Yusop berkata, Modul Kefahaman Poligami yang dilancarkan hari ini bertujuan memberi kefahaman menyeluruh membabitkan pelbagai aspek poligami termasuk undang-undang.

“Modul dihasilkan daripada beberapa panel penggubal (undang-undang), sebagai contoh, daripada segi hukum syarak kenapa dia (lelaki) hendak berpoligami? Ada atau tidak kesannya kepada anak-anak dan sebagainya.

“Ada yang mahu berpoligami tetapi tidak menepati hukum syarak, jadi kita menegaskan bahawa modul ini bukan bertujuan menggalakkan tetapi untuk memberi kefahaman sebenar kepada mereka sama ada mahu berpoligami atau perlu berpoligami, wajib memahami undang-undang dan hukum syarak terlebih dahulu,” katanya.

Mengenai portal jodoh, Cinta Sakinah pula, beliau berkata, ia bagi membantu warga Perak yang sukar mencari pasangan hidup yang bersesuaian serta membantu melancarkan urusan pencarian jodoh yang menepati hukum syarak.

Katanya, portal jodoh berkenaan dibangunkan dengan kerjasama KPerak untuk memberi kemudahan kepada mereka yang sukar untuk mencari jodoh secara lebih sistematik dengan pendaftaran dihadkan bagi mereka yang mahu berkahwin buat kali pertama sahaja.

“Ada orang yang sukar hendak mencari jodoh terutama mereka yang sudah lanjut usia dan ada pula atas sebab tertentu sehingga kini masih belum bertemu jodoh.

“Jadi, portal ini diwujudkan khusus bagi membantu mereka yang benar-benar mempunyai keinginan untuk berkahwin tetapi sukar untuk bertemu jodoh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Oktober 2018 @ 9:22 PM