LELAKI berusia 31 tahun ditahan polis di Kampung Baru Selarong Panjang, Karangan Kulim selepas mengugut ingin membunuh kakak iparnya dengan kayu dan batu. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@nstp.com.my


TINDAKAN lelaki mengugut mahu membunuh kakak iparnya menggunakan kayu dan batu akibat perselisihan faham antara keluarga mengundang padah apabila dia ditahan polis, semalam.

Dalam kejadian 9.35 pagi itu, suspek berusia 31 tahun itu pada mulanya bertengkar dengan abangnya di Kampung Baru Selarong Panjang, Karangan, dekat Kulim, sebelum dia kemudian menyerang pula kakak iparnya berusia 30-an dan mengugut ingin membunuh mangsa.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, suspek bertindak mengugut dengan kayu dan batu untuk membunuh mangsa menyebabkan wanita itu trauma.

Menurutnya, ketika kejadian ahli keluarga mereka turut menyaksikan kejadian itu sebelum mangsa yang bimbang dengan keselamatan diri, membuat laporan di Balai Polis Sungai Kob.

“Susulan laporan polis itu, anggota Balai Polis Sungai Kob kemudian mengesan suspek sebelum menahannya di Kampung Baru Selarong Panjang, Karangan, dekat sini, pada 12.45 tengah hari.

“Suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim untuk tindakan selanjutnya dan dia mengaku mengugut mangsa,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Oktober 2018 @ 2:28 PM