ULWAIS Mohd Shafeei, 20 (baju putih) dikenakan hukuman penjara enam tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen dan dua remaja bawah umur ditahan di Sekolah Henry Gurney kerana didakwa merogol remaja perempuan berusia 15 tahun sebulan ketika kejadian dalam bilik sebuah rumah di Wakaf Stan pada 3 November 2017 lalu. FOTO Siti Nor Hidayatidayu Razali
Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@nstp.com.my


MEKANIK dipenjara enam tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu, manakala dua rakan bawah umur ditahan di Sekolah Henry Gurney, Melaka, sehingga mencapai umur 21 tahun hari ini, atas kesalahan merogol gadis bawah umur.

Tertuduh, Ulwais Mohd Shafeei, 20, dan dua rakan masing-masing berusia 18 dan 19 tahun mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, Ulwais didakwa merogol remaja perempuan berusia 15 tahun di dalam bilik di rumah di Wakaf Stan, Kota Bharu, pada 4 pagi, 3 November 2017.

Dua lagi tertuduh bawah umur didakwa mengikut pertuduhan pindaan merogol mangsa dan di lokasi yang sama masing-masing antara 2.30 hingga 3.30 pagi, pada tarikh sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Terdahulu, peguam bela, Saharuddin Mohamed yang mewakili Ulwais dan peguam Shamsul Bahrain Abdullah serta Idi Amin mewakili tertuduh bawah umur.

Ketiga-tiga peguam memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan kepada tertuduh memandangkan mereka adalah pesalah muda ketika kejadian mengikut Seksyen 293(1)(e) yang membawa hukuman khidmat masyarakat yang tidak melebihi 160 jam.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar yang memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira kesalahan serius dan untuk memberi pengajaran serta mencegah masyarakat melakukan kesalahan yang sama.

Mahkamah kemudian mengarahkan hukuman penjara bermula dari tarikh ditangkap pada 4 November 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Oktober 2018 @ 1:53 PM