Aizuddin Saad
am@hmetro.com.my

Palu (Indonesia): Meskipun cuma menyediakan makanan, namun jasa sembilan anak muda dari Malaysia ini amat dihargai mangsa gempa bumi dan tsunami di Kota Palu, Sulawesi Tengah, Indonesia.

Sembilan anak muda berkenaan yang mewakili pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysian Humanity For The People Hero (My Hope Hero) ke Kota Palu, bagi memberikan bantuan pasca gempa dan tsunami di kawasan bencana.

Bagi melancarkan perjalanan Misi Dapur Kasih Buat Sulawesi mereka bekerjasama dengan NGO lain seperti Malaysia Outreach Volunteer Experience (MOVE) dan Restoran Olive by Ash-Sham.

Selain itu mereka turut mendapat sokongan sukarelawan dari Indonesia mewakili Golden Future Foundation, NGO Indonesia dan Indonesia Muda.

Jalinan kerjasama antara NGO itu adalah kali pertama diadakan khusus bagi menyediakan makanan kepada mangsa bencana terutama di Posko Kelurahan Panau, Kecematan Tawaeli, Kota Palu.

Presiden My Hope Hero, Nadia Rahmat, 30, berkata, idea menyediakan makanan untuk mangsa bencana timbul selepas mereka melihat kesengsaraan pelarian perang Syria di sempadan Turki dan Syria.


KETUA misi, Adhwa Hakim Mohamed Sohaimi (dua dari kiri) menyantuni kanak-kanak bencana gempa bumi ketika Misi Dapur Kaseh Buat Sulawesi di Posko Kelurahan Panau, Kecematan Tawaeli, Kota Palu.

“Selain mangsa bencana, makanan disediakan menerusi misi Dapur Kasih Buat Sulawesi turut dikongsi dalam kalangan sukarelawan.

“Selain itu, kami turut memberi bantuan pemulihan trauma terutama untuk kanak-kanak dan wanita menerusi pelbagai aktiviti seperti melukis, permainan dalam kumpulan serta mengedarkan makanan ringan,” katanya.

Seorang lagi sukarelawan My Hope Hero, Danial Fakhri Abdul Wahid, 27, berasal dari Shah Alam berkata, pembabitan dalam program sukarelawan adalah atas dorongan ibu bapanya.

Juruterbang itu memberitahu, ibu bapanya mahu dia berbakti kepada masyarakat dan dia memilih untuk aktif bersama My Hope Hero.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan ke Tabung Dapur Kasih Buat Sulawesi boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank 5623 4856 6865 atas nama Malaysia Outreach Volunteer Experience (MOVE).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Oktober 2018 @ 11:47 AM