POLIS menunjukkan antara barangan yang dirampas daripada suspek. FOTO Malai Rosmah Tuah
Mohd Nazllie Zainul
cnews@nstp.com.my

POLIS menahan sepasang kekasih kerana disyaki mendalangi enam kes samun kedai serbaneka 24 jam di sekitar Kota Kinabalu.

Suspek berusia 28 tahun bersama teman wanitanya berusia 27 tahun ditahan di sebuah rumah di Inanam, Jumaat lalu.

Ia susulan dua laporan kes samun kedai serbaneka 24 jam di Jalan Kolam, pada 23 Oktober lalu, dan di Jalan Damai Plaza, dua hari kemudian.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, dalam kes pertama, suspek hanya dapat melarikan RM90.

Bagaimanapun, pada kejadian kedua, suspek tidak sempat menyamun berikutan pekerja menjerit dan mengakibatkan suspek panik dan melarikan diri.

Katanya, penahanan pasangan kekasih itu sekali gus dipercayai dapat menyelesaikan enam kes samun kedai serbaneka 24 jam sekitar Kota Kinabalu.

“Modus operandi pasangan ini adalah suspek lelaki menyamar sebagai pelanggan dan melakukan samun menggunakan pisau apabila premis dalam keadaan sunyi.

“Selepas itu, suspek meninggalkan kedai sebelum menaiki Perodua Myvi dipandu teman wanitanya yang menunggu di luar premis.

“Kita dapat mengesan pasangan ini selepas melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 kerana samun bersenjata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Oktober 2018 @ 5:11 PM