TIAN Chua.
Mohd Iskandar Ibrahim
mohd_iskandar@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Calon Naib Presiden PKR, Tian Chua menegur kelemahan tadbir urus Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR dalam menguruskan pemilihan parti itu.

Bekas ahli Parlimen Batu itu berkata, tidak sepatutnya berlaku sebarang kelemahan kerana bukan kali pertama pemilihan parti diadakan.

“JPP sepatutnya mengatasi sebarang masalah berbangkit sebelum pemilihan diadakan berdasarkan pengalaman sebelum ini.

“Contoh, pemilihan di cabang Pandan, kita sudah tahu anggota parti di kawasan bandar ramai. Sepatutnya JPP boleh menggunakan beberapa lokasi untuk mengadakan pemilihan dan bukan hanya tertumpu di satu lokasi.

“Ini menyebabkan orang ramai terpaksa beratur panjang sementara menunggu giliran untuk masuk ke dewan bagi mengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pusat pengundian cabang Pandan di Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Taman Cempaka di sini, semalam.

Keadaan pemilihan di cabang Pandan sedikit tegang pagi semalam apabila pusat pengundian dibuka lewat berbanding jadual sebenar.

Mengulas lanjut, Tian Chua berkata, sistem pengundian dalam talian (e-undi) yang pertama kali digunakan dalam pemilihan parti kali ini, perlu diperbaiki.

“Hari ini (semalam), pemilihan di Kuala Selangor terpaksa ditangguhkan akibat masalah capaian Internet. Ini yang saya maksudkan yang mana JPP seharusnya memastikan masalah ini tidak berulang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Oktober 2018 @ 11:12 AM