ALUMNI dan pensyarah Masscomm UiTM/ITM yang hadir pada Masscomm Night di Shah Alam, semalam. FOTO Ihsan Alumni Masscomm UiTM
Wan Jailani Razak dan Nor Afzan Mohd Yusof
cnews@nstp.com.my


MESKIPUN hanya 120 ‘budak Masscomm’ hadir pada pertemuan semula di Dewan Seri Hatinie, Shah Alam, malam semalam, namun ia sudah cukup untuk meriuhkan suasana sama seperti ketika zaman belajar bersama dahulu.

Apa tidaknya, bekas penuntut Kajian Sebaran Am atau kini Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) memang terkenal dengan keletah lebih dewasa dalam kalangan warga Institut Teknologi MARA (ITM), kini Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Kehadiran ramai pensyarah menjadikan pertemuan lebih bermakna termasuk Dr R Sankaran yang menjadi antara tenaga pengajar perintis Masscomm.

Selain itu, Prof Abdul Hamid Mohamad, Dr Illias Salleh, Dr Adnan Hashim, Prof Dr Azizul Halim Yahya, Prof Madya Abdul Rahim Salleh, Dr Massila Hamzah, Abu Yamin Salam dan Hariyati Ariffin turut hadir.

Azizul yang juga Dekan FKPM UiTM berkata, beliau amat berpuas hati dengan penganjuran majlis itu yang mempertemukan graduan lama dan baharu dalam bidang Masscomm dengan pensyarah mereka.

“Saya gembira kerana ramai yang hadir dan berharap lebih ramai membabitkan diri dalam kegiatan seperti ini kerana fakulti kita adalah yang tertua dalam bidang komunikasi.

“Malah, ramai graduan menjadi ‘kapten’ industri dalam kebanyakan syarikat media di negara kita. Kalau ramai yang bersama kita, dengan perpaduan yang kukuh dalam persatuan, ia boleh membantu pelajar yang akan menceburi bidang komunikasi ini.

“Ini kerana mereka juga memerlukan senior untuk berkongsi pengalaman. Semangat yang ditunjukkan pada malam ini harus dikekalkan,” katanya pada majlis ‘Masscomm Night’.


AZIZUL Halim (berdiri tengah) bergambar bersama pensyarah Masscomm UiTM. FOTO Ihsan Alumni Masscomm UiTM

Pada malam itu, turut diadakan kutipan derma untuk disumbangkan kepada alumni Masscomm, Mohammad Dawam Badiulzaman (pengajian sesi 1986-1989) bagi membolehkannya menjalani pembedahan jantung.

Sankaran yang kini menetap di Amerika Syarikat berkata, beliau gembira kerana dijemput hadir pada majlis itu dan berbangga kerana menjadi pensyarah bukan Melayu pertama yang menyertai ITM.

“Saya tidak kaya-raya hasil sumbangan pada dunia pendidikan tetapi saya cukup bahagia apabila ada bekas anak murid datang tegur ‘Sir, still remember me?

“Pengajarannya, kita akan kekal bahagia apabila kita tahu bersyukur,” katanya yang dilihat sebak ketika mengimbas nostalgia bersama budak Masscomm.

Sementara itu, Pemangku Presiden Alumni Masscomm UiTM Basree Rakijan berkata, beliau mengakui terkejut dengan kesudian Sankaran yang banyak berjasa kepada fakulti Masscomm untuk hadir pada program berkenaan.

Katanya, antara program dilaksanakan alumni sebelum ini ialah ziarah ke rumah kebajikan, bantuan derma kepada ahli yang ditimpa musibah, selain kegiatan berbentuk akademik seperti bual bicara yang disertai pelajar dan pengamal industri.

Majlis anjuran Alumni Masscomm UiTM itu dijayakan dengan kerjasama The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad, Kumpulan Media Karangkaf Sdn Bhd, Malaysia Industry-Government Group for High Technologies (MIGHT), Malaysia Rail Link Sdn Bhd, SIRIM QAS International Sdn Bhd, Prolintas Holdings Sdn Bhd, Malaysia Rail Industry Corporation, Medyavisyon Sdn Bhd, Hijab & Heels, D’Amante Sdn Bhd, Multi Modal Freight Sdn Bhd, Denai Alam Recreational and Riding Club dan Artic Rail Sdn Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Oktober 2018 @ 1:28 PM