RAFIZI (kiri) dan Azmin. FOTO arkib NSTP
Shamsul Kamal Amarudin
shaka@nstp.com.my


RAFIZI Ramli mendakwa beliau kini memintas kedudukan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam persaingan jawatan Timbalan Presiden PKR berikutan kemenangan besar pada pemilihan parti itu di Perak, hari ini.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan dalam Facebook beliau malam ini, Rafizi berkata, beliau terkejut dengan keputusan pemilihan di Perak yang memberi lonjakan terbesar dan meletakkannya berada di hadapan Mohamed Azmin.

"Terima kasih kepada pengundi-pengundi di Perak yang memberi 6,700 undi (61 peratus) kepada saya, berbanding 4,359 undi (39 peratus) kepada saudara Azmin. Saya juga menang di 19 dari 24 cabang di Perak, satu keputusan yang paling besar di mana-mana negeri setakat ini," katanya.

Rafizi mendakwa, berikutan keputusan itu, beliau kini memperoleh 47,542 undi secara keseluruhan setakat ini atau 50.5 peratus dengan kemenangan di 86 cabang berbanding Mohamed Azmin yang memperoleh 46,547 undi atau 49.5 peratus dengan kemenangan di 72 cabang.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pengundi di Kedah yang menyaksikannya memperoleh 3,210 undi (47 peratus) berbanding 3,653 undi diperolehi Mohamed Azmin (53 peratus).

"Dengan 158 cabang dari 12 negeri dan Wilayah Persekutuan di Semenanjung telah mengundi, kecuali enam cabang di Selangor yang akan mengundi esok, saya kini mendahului saudara Azmin sebanyak 995 undi.

"Ini (selepas) mengambil kira keputusan di cabang-cabang Negeri Sembilan dan Melaka yang telah dikeluarkan keputusan," katanya.

Rafizi berkata, ia adalah keputusan yang sangat baik selepas mengambil kira keadaannya yang tiada sebarang kedudukan dalam kerajaan dan berkempen dalam serba kekurangan.

Katanya, keputusan dari negeri terutama di Perak memberi gambaran jelas ada tuntutan daripada akar umbi yang perlu diberi perhatian oleh pimpinan Pusat.

"Saya berharap prestasi ini dapat diteruskan di enam cabang terakhir di Selangor esok, dan disambung pula di Sabah dan Sarawak.

"Saya berharap sukarelawan dan jentera kempen #Reformasi20Tahun terus segar dan bersemangat untuk membuat pecutan terakhir.

"Saya yakin dengan momentum yang ada, disambut pula dengan sokongan yang baik di Sabah dan Sarawak, agenda reformasi dalaman yang kita bawa melalui #Reformasi20Tahun boleh dilaksanakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Oktober 2018 @ 11:14 PM