PENGUNDI menyemak nama sebelum dibenarkan mengundi pada pemilihan PKR Cabang Sungai Petani di Dewan Persatuan Pendidikan Akhlak Lip Seang Kor. FOTO Nor Farhani Che Ad
Nor Farhani Che Ad
cnews@nstp.com.my


SEBAHAGIAN daripada 30 peratus undi ahli PKR yang didakwa hilang di Kedah pada pemilihan, semalam berlaku disebabkan kertas undi yang tidak dikembalikan.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Rashid Din berkata, pihaknya mendapat laporan ada pengundi mendaftar di pusat pengundian, namun tidak mengundi.

“Memang ada data kehilangan undi seperti yang dikatakan tetapi bila kita periksa sebahagiannya bukan hilang tetapi disebabkan kertas undi yang tidak dikembalikan.

“Petugas cetak kod tapi mereka (ahli) tidak undi, mungkin ada balik terus,” katanya selepas melakukan tinjauan di pusat pemilihan PKR Cabang Sungai Petani di Dewan Persatuan Pendidikan Akhlak Lip Seang Kor di Sungai Petani, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Biro Komunikasi PKR Selangor, Nor Hizwan Ahmad mendakwa 30 peratus undi ahli PKR Kedah hilang dari sistem pengundian pada proses pemilihan di 10 cabang parti itu di negeri ini semalam.

Kehilangan undi didakwa berlaku pada pemilihan di 10 cabang di negeri itu membabitkan cabang Pendang, Jerlun, Kuala Kedah, Padang Terap, Baling, Sik, Alor Setar, Langkawi, Kubang Pasu dan Pokok Sena yang didakwa disebabkan masalah pada sistem sistem e-undi.

Keputusan pemilihan PKR di Kedah semalam menyaksikan calon Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berjaya mendahului Rafizi Ramli selepas masing-masing menerima 1,148 undi dan 1,031 undi.

Dalam pada itu, Rashid menjangkakan proses pemilihan bagi lima cabang terakhir iaitu Sungai Petani, Merbok, Jerai, Padang Serai dan Kulim- Bandar Bharu yang bermula pada jam 10 pagi tadi akan berjalan lancar.

“Kita sudah membuat persediaan terbaik dengan menambah jumlah petugas JPP dan juga alat peranti dengan capaian Internet yang baik.

“Kita juga mendapat kerjasama baik daripada polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) sepanjang proses pemilihan bagi memastikan keadaan berjalan lancar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Oktober 2018 @ 6:30 PM