DUA klien CCRC Jelebu hanya sempat melarikan diri selama sejam sebelum dicekup semula ketika menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Jelebu, hari ini. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor dan Abnor Hamizam Abd Manap
mohdhelmi@nstp.com.my


DUA klien Pusat Rawatan dan Pemulihan Narkotik (CCRC) Jelebu ditahan semula selepas sejam melarikan diri ketika menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Jelebu, hari ini.

Sumber berkata, kedua-dua lelaki berusia 20-an itu ditemui semula di premis berdekatan hospital berkenaan pada 11.30 pagi.

Beliau berkata, dua klien itu bersama tujuh yang lain sebelum itu dibawa ke hospital bagi menjalani pemeriksaan kesihatan pada 10.30 pagi dengan dipantau sekumpulan anggota dan pegawai CCRC.

Menurutnya, berikutan sembilan klien terbabit adalah penghuni baharu, mereka perlu menjalani pemeriksaan bagi memenuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Ketika sedang menunggu pakar perubatan, dua klien terbabit meloloskan diri dan sebaik menyedari kehilangan mereka, pegawai CCRC terus mengesan dan menemui mereka bersembunyi di premis berdekatan.

“Semua klien berkenaan dimasukkan ke CCRC Jelebu sejak tiga bulan lalu selepas ditahan kerana terbabit dengan penyalahgunaan dadah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah CCRC Jelebu, Suhami Abu Bakar ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian, namun enggan mengulas lanjut kerana kes berkenaan masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Oktober 2018 @ 9:54 PM