SEBAHAGIAN daripada 31 wanita warga asing yang ditahan Jabatan imigresen Malaysia Kuala Lumpur kerana terbabit dalam kegiatan pelacuran di hotel di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur, malam tadi. FOTO ihsan imigresen.
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@nstp.com.my


SERAMAI 31 wanita warga asing yang menawarkan khidmat seks di bilik hotel di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur, ditahan dalam serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur, malam tadi.

Semua wanita berkenaan dipercayai bekerja bagi satu sindiket pelacuran dan dikesan hanya menawarkan khidmat seks kepada pelanggan menggunakan aplikasi Wechat bagi mengelak kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.

Bayaran dikenakan kepada pelanggan sekitar RM220 hingga RM660 bergantung kepada wanita dipilih.

Pengarah JIM Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Unit Operasi Khas (QRT) Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisa JIM Kuala Lumpur menggempur hotel berkenaan pada 9.30 malam.

Beliau berkata, operasi mengambil masa dua jam berikutan penghuni di bilik hotel berkenaan enggan memberikan kerjasama.

“Disebabkan penghuni hotel enggan bekerjasama, anggota terbabit operasi itu terpaksa memecah beberapa pintu bilik hotel bagi menangkap mereka.

“Malah, ketika ditahan, ada antara pelacur berkenaan sedang bersembunyi di dalam bilik air termasuk di laluan rahsia di beberapa bilik hotel di situ,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hamidi berkata, semua wanita warga asing yang ditahan itu berusia antara 20 hingga 35 tahun membabitkan 14 wanita Indonesia, 12 wanita Thailand dan lima wanita Vietnam.

Katanya, semua wanita itu masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial dan melakukan kesalahan mengikut Peraturan 39(b), Peraturan Imigresen 1963.

“Dalam operasi itu, kami turut menahan empat lelaki tempatan yang sedang mendapatkan khidmat pelacur terbabit bagi membantu siasatan.

“Malah, kami turut menahan tiga lelaki tempatan dipercayai bekerja sebagai bapa ayam kepada semua pelacur terbabit,” katanya.

Hamidi berkata, pihaknya turut merampas beberapa peralatan untuk kegunaan aktiviti seks seperti kondom, minyak pelincir, permainan seks serta beberapa peralatan elektronik diguna sindiket itu bagi memantau kehadiran pihak berkuasa.

Beliau berkata, semua wanita warga asing itu kini ditahan di Depoh Imigresen Bukit Jalil bagi membantu siasatan yang dibuat mengikut Akta Imigresen, Peraturan Imigresen dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Oktober 2018 @ 9:09 PM