GUNUNG Singai yang menjadi antara tarikan di Daerah Bau. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni
cnews@nstp.com.my


ASPEK keselamatan di Gunung Singai, di sini akan terus dipertingkatkan, begitu juga kemudahan berkaitan untuk keselesaan pengunjung seiring dengan kedudukan kawasan itu sebagai destinasi pelancongan popular.

Ia termasuk pemasangan lebih banyak papan tanda penunjuk arah, termasuk papan tanda amaran ketika pendakian sama ada untuk aktiviti keagamaan atau riadah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep berkata, pengunjung juga perlu mendaftar diri sebelum mendaki ke Gunung Singai bagi tujuan keselamatan.

“Ini supaya pihak bertanggungjawab dapat membuat sesuatu jika ada masalah seperti kes hilang dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Peraturan Mendaki Gunung Singai, di Bau, semalam.

Henry berkata, pelbagai cadangan turut dikemukakan untuk mengawal pergerakan pengunjung seperti pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV) di pintu masuk ke Gunung Singai.

Katanya, peralatan itu antara kaedah terbaik untuk mengenalpasti individu yang datang dan masuk mendaki ke Gunung Singai, lebih-lebih lagi bagi menghadapi situasi pendaki hilang atau pendaki sesat.

Gunung Singai antara lokasi yang begitu popular dalam Daerah Bau dengan merekodkan jumlah pengunjung mencecah 200 pengunjung, terutama pada hujung minggu.

Antara tarikannya aktiviti pendakian membabitkan jarak pendakian dianggarkan sejauh 2,200 meter yang mengambil masa antara satu hingga dua jam untuk sampai ke puncak.

Selain itu, gereja lama di tengah gunung terbabit yang dikenali Catholic Memorial Pilgrimage Center (CMPC) juga menjadi tarikan pengunjung, yang difahamkan ia adalah gereja pertama di Daerah Bau.

Gunung Singai juga terkenal dengan sejarahnya, yang menjadi penempatan awal masyarakat Singai pada zaman dahulu.

Bagaimanapun, penempatan asal itu kini sudah tidak lagi wujud, namun kesan tinggalannya masih kelihatan tiang-tiang rumah penduduk.

Baru-baru ini, Gunung Singai menarik perhatian apabila seorang pendaki lelaki hilang ketika bersendirian mendaki gunung berkenaan sebelum ditemui kira-kira seminggu kemudian dalam keadaan selamat.

Namun, kehilangan Stanley Kho, 22, yang ditemui dalam keadaan lemah di dalam gaung berbatu di kaki gunung berkenaan turut dikaitkan dengan orang bunian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Oktober 2018 @ 11:45 AM