ZULKIFLI ketika sidang media pengumuman kawasan berisiko tinggi permasalahan dadah.
Nurul Hidayah Bahaudin
cnews@nstp.com.my

Bangi: Sebanyak 12 lokasi di seluruh negara berjaya diturunkan status daripada zon merah kawasan berisiko tinggi permasalahan dadah kepada zon kuning dan hijau.

Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, pihaknya mengenal pasti 178 lokasi dikategorikan sebagai kawasan berisiko tinggi permasalahan dadah.

“Daripada jumlah itu, kami menyemak semula status 14 lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi dalam Program Perangi Dadah Habis-Habisan 1.0 yang dilancarkan pada 2016.

“Antara lokasi berjaya menurunkan status kepada zon kuning adalah Kangar, Perlis, Kuala Kedah, Kedah, Kepala Batas, Pulau Pinang, Sitiawan, Perak, Petaling Jaya, Selangor, Pantai Dalam, Kuala Lumpur, Rompin, Negeri Sembilan, Gong Badak, Terengganu, Kuantan, Pahang dan Bandar Kuching (Semariang), Sarawak.

“Sementara itu, dua lokasi iaitu Merotai, Sabah dan Tanjung Keling, Melaka, bertukar status menjadi zon hijau, manakala Pasir Mas, Kelantan dan Pasir Gudang Johor masih dikategorikan sebagai zon merah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat AADK di Sungai Merab, di sini, semalam.

Zulkifli berkata, pihaknya turut mengenal pasti 479 Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang termasuk dalam lingkungan 178 lokasi dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi permasalahan dadah di seluruh negara.

“Bagi tempoh Januari hingga September lalu, seramai 17,203 penagih baru dan berulang dikesan AADK sekali gus menunjukkan penurunan sebanyak 12.5 peratus berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Oktober 2018 @ 10:58 AM