SEBAHAGIAN daripada 5,000 orang yang menyertai Program Kelantan Student Quran Hour di Masjid Al Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, Kota Bharu. FOTO Zaman Huri Isa.
Hazira Ahmad Zaidi dan Fakhrul Abid Mohamed Saifuddin
cnews@nstp.com.my


“APABILA masuk tahfiz dan belajar mengaji, saya boleh membaca al-Quran kepada arwah ibu setiap hari,” kata pelajar tahfiz Madrasah Al Insaniah Wa Tahfizal Quran, Muhammad Asyraf Muslim Nazarudin.

Muhammad Asyraf, 8, berkata ibunya meninggal dunia pada pertengahan tahun ini disebabkan serangan jantung dan arwah pergi ketika dia dan adiknya masih memerlukan kasih sayang daripada seorang ibu.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, sejak kecil dia dibesarkan oleh neneknya, manakala adik beradiknya yang lain tinggal bersama ibu dan ayah.

“Walaupun baru memulakan pembelajaran di maahad tahfiz ini pada awal Januari lalu, saya bersemangat untuk mendalami dan menimba ilmu sebanyak mungkin.

“Saya akan belajar dengan bersungguh-sungguh untuk menjadi contoh terbaik kepada adik beradik,” katanya ketika ditemui dalam Program Kelantan Student Quran Hour ldi Masjid Al Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, Kota Bharu.

Sementara itu, seorang lagi pelajar tahfiz, Abdul Qayyum Osman, 8, berkata, dia dihantar ke pusat tahfiz itu pada usia tujuh tahun oleh ibunya.

“Sejak kecil, saya memang bercita-cita untuk belajar di pusat tahfiz kerana mahu belajar menghafal.

“Kebiasaannya, saya akan meluangkan masa untuk membaca al-Quran pada waktu Maghrib atau Isyak kerana pada waktu itu tidak melakukan apa-apa kerja.

“Kini saya baru diajar membaca beberapa surah pilihan dan selepas khatam, barulah ustaz akan mengajar cara menghafal pula. Saya berharap ia dipermudahkan,” katanya.

Kira-kira 5,000 orang termasuk 3,000 pelajar daripada 177 sekolah menengah, Yayasan Islam Kelantan (YIK), swasta dan pusat tahfiz menyertai Program Kelantan Student Quran Hour anjuran Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan (PRNNK) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Oktober 2018 @ 12:48 AM