Shahrinnahar Latib
cnews@nstp.com.my


KERANI wanita di Kuantan, diperdaya sindiket jual beli cincin emas yang aktif beroperasi di Facebook (FB) mengakibatkan kerugian RM3,750, Jun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 22 tahun itu berurusan dengan pengendali FB berkenaan dikenali sebagai Meena.

“Mangsa menghubungi suspek selepas berminat dengan iklan ditawarkan suspek.

“Dia kemudian menempah dua bentuk cincin emas bagi majlis pertunangannya yang dijadualkan pada 15 September lalu.

“Mangsa kemudian bersetuju dan memasukkan wang deposit berjumlah RM380 ke akaun diberikan suspek di sebuah bank di Maran, hari sama.

“Pada 11 Jun, mangsa membuat pemindahan wang berjumlah RM3,370 ke akaun sama dan dia dimaklumkan, cincin itu akan dihantar pada bulan Julai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Wazir berkata, tempahan itu bagaimanapun tidak sampai seperti dijanjikan.

Katanya, mangsa menghubungi suspek melalui aplikasi WhatsApp bertanyakan status tempahan 14 Ogos lalu, namun, suspek memberikan pelbagai alasan.

Katanya, suspek kemudiannya memaklumkan kepada mangsa akan memulangkan wang kepada mangsa berikutan kegagalan pihaknya menyiapkan tempahan dibuat mangsa.

“Mangsa menerima kiriman WhatsApp daripada Meena (suspek) minggu lalu dan memaklumkan cincin ditempah sudah dihantar, selain menyertakan gambar resit ‘tracking’ nombor kepada mangsa.

“Semakan dibuat mangsa kemudiannya mendapati nombor ‘tracking’ itu tidak wujud... mangsa sekali lagi menghubungi suspek dan suspek sekali lagi memberikan alasan yang tidak boleh diterima. “Mangsa membuat laporan polis selepas berasakan dirinya tertipu di Ibu Pejabat Polis (IPD) Maran hujung minggu lalu,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Oktober 2018 @ 5:12 PM