Mohd Sabran Md Sani
sab@nstp.com.my


PEMANDU van yang menggilis Janiss Yeoh Zi Xuan kerap diingatkan supaya memastikan pintu kenderaan itu menghadap rumah setiap kali menghantar mendiang pulang dari sekolah.

Peringatan oleh nenek mangsa itu bagi mengelakkan Yeoh dari berjalan di hadapan van sebelum memasuki rumah.

Ahli keluarga kanak-kanak itu yang enggan dikenali berkata, kebiasaannya pemandu van itu akan menunggu sehingga mendiang masuk ke dalam rumah neneknya sebelum bergerak.

“Bagaimanapun ketika kejadian berlaku sebaliknya apabila pemandu van tidak buat begitu,” katanya ketika ditemui pada majlis pembakaran mayat di Johor Bahru hari ini.

Tragedi menimpa Yeoh yang maut selepas digilis van sekolah dinaikinya di Taman Tun Aminah, kelmarin sangat diratapi keluarganya terutamanya neneknya.

Warga emas itu amat terkesan dengan kehilangan cucunya berusia lima tahun itu kerana sudah menjaganya sejak usianya sebulan.

“Dia (nenek) menjaga mendiang sejak berusia sebulan dan sangat sedih dengan kejadian menimpa cucunya itu,” kata ahli keluarga itu lagi.

Terdahulu mayat mendiang yang disimpan di Nirvana Memorial Park Skudai selepas bedah siasat selesai semalam di bawa ke Chinese Memorial Park Tiong Hua pada jam 10.30 pagi.

Suasana hiba menyelubungi kawasan pembakaran berkenaan apabila ibu kanak-kanak itu tidak dapat menahan perasaan hiba dengan kehilangan kanak-kanak itu.

Ketika ditanya lanjut mengenai kejadian itu, ahli keluarga berkenaan memaklumkan kejadian itu jarang dilakukan pemandu van terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Oktober 2018 @ 3:19 PM