PENDAKI di puncak Da Feng
Abdul Rahim Rahmat
cnews@nstp.com.my

SEPULUH pendaki negara dari Kelab Jelajah Apine Malaysia (KJA-M) berjaya menawan puncak Da Feng di Gunung Siguniang di Sichuan, jam 8.30 pagi waktu tempatan, semalam.

Pendakian ke puncak setinggi 5,038 meter dari aras laut itu adalah misi Climb For Peace iaitu salah satu usaha KJA-M dalam menyampaikan mesej keamanan dunia melalui pendakian gunung dan ia turut disertai jurugambar The New Straits Times Press (NSTP), Abdul Rahim Rahmat

Presiden KJA-M, Muhammad Illham Ishak berkata, walaupun terdapat beberapa pendaki yang mengalami penyakit akut gunung (AMS), namun disebabkan semangat juang yang tinggi untuk mengibarkan Jalur Gemilang di puncak Da Feng, pendakian tetap diteruskan.

“Kami juga terpaksa berdepan cabaran suhu di paras negatif dan angin yang agak kuat selain salji tebal yang menyukarkan sedikit pendakian.

“Bagaimanapun, selepas hampir lima jam mendaki dari Kem Induk Da Feng, kesemua pendaki berjaya tiba di puncak dan mereka semua berada dalam keadaan yang baik dan bersemangat," katanya kepada NSTP, hari ini.

Pendakian kumpulan itu bermula dari Pusat Aktiviti Outdoor Siguniang pada 22 Oktober lalu sebelum berhenti di Kem Dajian Bao untuk bermalam.

Keesokan harinya, mereka meneruskan pendakian ke Kem Induk Da Feng sebelum menuju ke puncak pada awal pagi semalam.

Muhammad Illham berkata, pendakian ke Gunung Siguniang juga adalah sebahagian daripada latihan KJA-M untuk melengkapkan misi World 7 Summits 2020 iaitu menawan tujuh puncak tertinggi di tujuh benua pada 2020.

“Kini, hanya tinggal dua sahaja puncak yang perlu ditawan KJA-M iaitu Gunung Mc Kinley di benua Amerika Utara dan Gunung Vinson Massif di benua Antartika,” katanya.


PENYOKONG Perak meraikan kemenangan pasukan bola sepak negeri, semalam. FOTO Eizairi Shamsudin

Dalam pada itu, sekali lagi bendera Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut berkibar megah di puncak tertinggi apabila kumpulan pendaki ini turut dianggotai seorang pegawai merangkap jurulatih dari Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Kubu Bharu iaitu Mohd Fakhrul Munir Bin Mohd Isa. Selain gunung di China ini, beliau pernah mengibarkan bendera JBPM di beberapa puncak tertinggi antaranya di Nepal, India, Jepun, Taiwan, Australia, New Zealand dan Sri Lanka.

Senarai pendaki

1. Presiden Kelab Jelajah Alpine Malaysia Mohammad Illaham Ishak

2. Pengarah Urusan Puncak Ventures Sdn Bhd, Zainuddin Lot.

3. Abd Rahim Rahmat (NSTP)

4. Ayob Yahaya

5. NurulHani Othman

6. Fakrul Munir Mohd Isa

7. Dr Mafeitzeral Mamat

8. Wan Azman Wan Mahmud

9. Agmad Saifudin Jamaludin

10. Mohd Azraie Md Yusof

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Oktober 2018 @ 2:57 PM