MASIRAH
Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: Enam tahun lalu, kehidupan warga emas ini diuji apabila disahkan menghidap kanser payudara tahap tiga sekali gus membuatkan dia hilang semangat.

Masirah Sajuri, pesara polis itu tidak menduga dia menghidap penyakit yang digeruni wanita ketika usianya menginjak 60 tahun dan pembedahan segera terpaksa dibuat pada 2013.

Selepas itu bermulalah episod rawatan yang dilalui Masirah hingga kini.

Pada usianya 67 tahun, dia menjalani radioterapi sebanyak 20 kali dan kimoterapi enam kali.

Berkat ketabahan dan kesungguhan ibu tunggal anak tiga berusia antara 34 dan 39 tahun menjalani rawatan intensif berserta reda Allah SWT, dia akhirnya disahkan bebas kanser, dua tahun lalu.

“Tidak pernah terlintas langsung di fikiran saya akan menghidap kanser payudara ketika berusia 60 tahun.

“Ketika itu, saya hanya berasa sakit sedikit dan apabila menyentuh payudara, rasa dapat rasakan ketulan menyebabkan saya terus ke hospital.

“Apabila dimaklumkan kanser, saya akui memang hilang semangat dan sedih ketika itu. Bayangkan ketika pembedahan membuang payudara sebelah kiri, saya hanya sendirian kerana suami dan menantu sudah meninggal dunia hingga menyebabkan emosi anak saya tidak stabil.

“Saya sendirian sepanjang berada di hospital dan terpaksa menguatkan semangat untuk meneruskan hidup,” katanya di sini, semalam.

Masirah yang berasal dari Johor berkata, dengan kuasa Allah dan berkat kecekalannya serta mengamalkan gaya hidup sihat termasuk menjaga pemakanan, dia disahkan bebas kanser.

“Kini saya sudah tidak mengambil sebarang ubat dan makanan tambahan lain selain perlu membuat pemeriksaan mamogram setahun sekali.

“Apa yang saya boleh katakan kepada mereka di luar sana, jangan takut membuat pemeriksaan dan menjalani rawatan di hospital.

“Kita sepatutnya percayakan doktor, bukannya percayakan bomoh,” katanya.

Menurutnya, doktor juga mengingatkan dia supaya tidak mengambil sebarang makanan tambahan tanpa merujuk pakar perubatan terlebih dulu kerana bimbang pengambilan makanan tambahan mengaktifkan semula sel kanser.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Oktober 2018 @ 11:53 AM