MUSTAFA Khan (tengah) bersama pelajar SJKC Kampung Baru Ampang pada Program Pencegahan Jenayah SJKC Peringkat Zon Ampang, semalam. FOTO Bernama.
Nurul Hidayah Bahaudin
cnews@nstp.com.my


SEBANYAK 1,440 kes jenayah direkodkan di seluruh negara membabitkan pelajar sekolah berkaitan pelbagai kesalahan pada tahun lalu.

Ketua Penolong Pengarah Kepolisan Komuniti Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Dr Mustafa Khan Abdul Samat berkata, jumlah direkodkan itu meningkat berbanding pada tahun sebelumnya.

“Pada tahun lalu, jumlah indeks jenayah membabitkan pelajar sekolah meningkat sebanyak 138 kes kepada 1,440 kes berbanding 1,302 kes pada 2016.

“Ia membabitkan pelbagai kesalahan jenayah termasuk bunuh, rogol, mendatangkan kecederaan, curi, curi kenderaan, ragut dan pecah rumah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Pencegahan Jenayah Sekolah Cina Zon Ampang di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kampung Baru Ampang, Ampang.

Mustafa Khan berkata, seramai 77 pelajar sekolah menengah dan kolej termasuk tiga perempuan ditahan di daerah Ampang bagi tempoh sepanjang tahun lalu membabitkan kes jenayah dan narkotik.

“Sepanjang tahun lalu, seramai 64 pelajar sekolah menengah dan kolej termasuk dua perempuan yang terbabit dalam kes jenayah ditahan di daerah ini, manakala 13 lagi termasuk seorang perempuan ditahan atas kesalahan narkotik.

“Bagi tempoh Januari hingga September lalu pula, seramai 44 pelajar sekolah menengah dan kolej termasuk seorang perempuan ditahan di daerah ini bagi kesalahan jenayah, manakala tiga lagi pelajar lelaki ditahan membabitkan kes narkotik menjadikan keseluruhan individu ditahan seramai 48 pelajar,” katanya.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai Pegawai Perhubungan Sekolah yang ditugaskan di setiap sekolah bagi memantau aktiviti membabitkan pelajar dalam usaha mengurang dan mencegah jenayah.

Katanya, selain itu, PDRM turut bekerjasama dengan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) dengan penubuhan Kelab Pencegahan Jenayah di peringkat sekolah bagi membendung aktiviti tidak bermoral selain kegiatan jenayah.

“Menerusi inisiatif dengan kerjasama pihak sekolah serta komuniti ini, kegiatan jenayah dapat dibendung di peringkat sekolah yang terdiri daripada golongan remaja mudah terdedah dengan pelbagai pengaruh negatif,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Oktober 2018 @ 12:35 AM