Keadaan di SMAP Kajang. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Siti Salmiah A Hamid
cnews@nstp.com.my


SEKOLAH Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang, Kajang, ditutup selama dua minggu, susulan wabak beguk.

Difahamkan, pelajar diarah kembali ke sekolah pada 9 November depan untuk mengambil peperiksaan akhir tahun dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)

Tinjauan NSTP hari ini, mendapati keadaan di sekolah itu lengang selepas ibu bapa mengambil anak-anak mereka semalam.

Bagaimanapun, guru dan pihak pentadbiran bertugas seperti biasa.

Sumber berkata, pentadbiran mengarahkan pelajar pulang ke rumah masing-masing, bagi mengelakkan penyakit berkenaan merebak.

“Pada mulanya, hanya segelintir pelajar yang dijangkiti beguk dan mereka dibawa ke klinik untuk rawatan.

“Namun, ia tersebar sehingga sebahagian besar pelajar menghidapinya. Selain itu, ada beberapa guru turut dijangkiti penyakit ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Oktober 2018 @ 8:49 PM