KAPAL berkenaan.
Ibrahim Isa
ibrahim@nstp.com.my

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Sedili menahan dua kapal kerana melakukan aktiviti pemindahan minyak kapal ke kapal tanpa kebenaran, semalam.

Kapal itu, Straits Loyalty dan Tanto Mitra ditahan pada kedudukan 4.5 batu nautika dari Timur Laut Tanjung Punggai, berhampiran Pasir Gudang.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Kapten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata, sebelum itu, pihaknya menerima maklumat awam bahawa terdapat dua kapal dalam keadaan mencurigakan.

Susulan itu, pihaknya mengerahkan sebuah bot ronda ke lokasi untuk menjalankan siasatan.

“Hasil siasatan, kami dapati kedua-dua kapal itu tidak mempunyai kebenaran bersauh dan disyaki melakukan aktiviti pemindahan Marine Diesel Oil (MDO) dari kapal ke kapal, di luar had Pasir Gudang tanpa kebenaran,” katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati kapal kontena berdaftar di Indonesia, manakala kapal tangki berdaftar di Malaysia.

“Hasil pemeriksaan, kapal berdaftar di Indonesia itu ada 19 kru warga negara itu termasuk kapten. Kapal berdaftar di Malaysia ada 10 kru warga negara sama termasuk kapten,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 49 1B (1)(k) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana melakukan pemindahan tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut.

Selain itu katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 49 1B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut.

“Sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya bagi setiap kesalahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Oktober 2018 @ 4:36 PM