Maszlee beramah mesra dengan murid-murid selepas menyertai persembahan pada majlis pelancaran Majlis Penutupan Bulan Bahasa Kebangsaan 201. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Haika Khazi
mfaizul@nstp.com.my


SEMUA kementerian perlu mengutamakan penggunaan bahasa Melayu dalam segala urusan rasmi masing-masing bagi memartabatkan kembali kedudukan Bahasa Kebangsaan seperti termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata, kementeriannya akan menegur sekiranya ada dalam kalangan anggota Kabinet menggunakan bahasa rojak atau bahasa lain dalam urusan rasmi mereka termasuk sidang media dan kenyataan rasmi mereka.

“Kita akan cuba memperbaiki semasa ke semasa. Saya sendiri di Kementerian Pendidikan akan cuba memberikan teguran kepada menteri supaya mengutamakan penggunaan bahasa Melayu dari semasa ke semasa,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan majlis penutup sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Melayu di Kuala Lumpur, hari ini.

Maszlee berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan beberapa anggota Kabinet sering menggunakan bahasa rojak atau bahasa Inggeris ketika berucap di majlis rasmi kerajaan dan sidang media.

Terdahulu, Maszlee berkata kementeriannya akan melancarkan buku Kerangka Standard Bahasa Melayu (KSBM) pada tahun depan bagi memberi panduan dan mengukur tahap penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan kakitangan kerajaan di seluruh negara.

Beliau berkata KSBM adalah satu piawai bahasa untuk menentukan tahap pemerolehan dan penguasaan dalam kalangan penutur bahasa Melayu sama ada di kalangan penjawat awam, mahu pun orang ramai.

Empat objektif utama KSBM antaranya menentukan standard kompetensi bahasa Melayu dalam kalangan pengguna bahasa Melayu, menentukan standard aras kompetensi bahasa Melayu dalam kalangan penutur bahasa Melayu, menjadi rujukan dalam pembinaan kurikulum pendidikan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan dan menjadi rujukan bagi membina instrumen penguasaan bahasa Melayu.

Berikutan itu, Maszlee berkata kementeriannya akan mengedarkan manual KSBM berkenaan kepada semua agensi kerajaan di seluruh negara dan di pejabat kedutaan Malaysia di luar negara menerusi bantuan Kementerian Luar.

“Manual KSBM ini kita akan gunakan semua peringkat standard sesuai untuk mengukur tahap penggunaan bahasa Melayu sama ada penutur jati atau bukan kita menaikkan semua standard BM dalam semua sektor,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Oktober 2018 @ 10:09 PM