Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@nstp.com.my

KEMAMPUAN calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli memberikan saingan sengit kepada penyandang jawatan itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di kubu kuatnya di Selangor, bukanlah sesuatu perkara yang luar biasa dalam pemilihan parti itu.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, Rafizi masih ketinggalan di belakang Mohamed Azmin selain tewas di beberapa kawasan yang menjadi kubu kuatnya selama ini.

Katanya, Pahang contohnya sebelum ini dikaitkan dengan kubu kuat Rafizi namun Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan Pengerusi PKR Selangor itu menang pada pemilihan baru-baru ini.

Katanya, keputusan pemilihan itu juga bukanlah disebabkan faktor Naib Presiden PKR itu berjaya merekrut lebih ramai ahli baru kerana Mohamed Azmin juga berbuat demikian Pahang dan menang di negeri terbabit.

“Tiada masalah, persaingan sengit itu adalah perkara biasa dan pemilihan kali ini juga dilihat lebih ‘civilised’.

“Namun, beberapa tuduhan liar yang dilemparkan kepada Mohamed Azmin dan pasukannya tetap dianggap kurang wajar.

“Apapun, diharapkan pemilihan kali ini dapat berjalan lancar tanpa ada gangguan atau isu-isu yang berkaitan,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pelan Induk dan Forum Kelestarian Sumber Air Negeri Selangor di Subang Jaya, hari ini.

Perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR dilihat semakin hangat apabila Rafizi yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan memberi saingan sengit kepada Mohamed Azmin di Selangor.

Fasa pertama pemilihan di Selangor membabitkan sembilan cabang pada 14 Oktober lalu menyaksikan Mohamed Azmin yang juga bekas Menteri Besar Selangor mendahului dengan memperoleh 9,337 undi sementara Rafizi meraih 8,563 undi.

Mohamed Azmin mendapat sokongan daripada enam cabang, iaitu Sabak Bernam, Sungai Besar, Serdang, Subang, Kota Raja dan Sepang manakala Rafizi memperoleh sokongan daripada daripada tiga cabang iaitu Hulu Selangor, Kelana Jaya dan Kapar.

Fasa kedua pemilihan PKR di Selangor pada Ahad lalu yang membabitkan tujuh cabang lain pula menyaksikan Mohamed Azmin memperoleh 4,978 undi, menewaskan Rafizi yang mendapat 4,385 undian.

Selepas selesai pemilihan di sembilan negeri dengan Selangor berbaki enam cabang, Mohamed Azmin Ali masih mendahului lawannya itu.

Sementara itu, Rafizi dan pasukannya dengan tema ‘Reformasi 20 Tahun’ dalam kenyataan di laman Twitternya menyatakan keyakinan bahawa proses pemilihan di Kedah, Perak, Sabah dan Sarawak akan berpihak kepadanya.

Katanya, dengan persaingan di Semenanjung hanya berbaki enam cabang di Selangor berbanding 39 cabang di Perak dan Kedah minggu hadapan, pihaknya yakin #Reformasi20Tahun ada peluang untuk menang di Semenanjung, sebelum pemilihan di Sabah dan Sarawak bermula bulan depan.

Beliau optimis sokongan di Sabah dan Sarawak akan berpihak kepada pasukan #Reformasi20Tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Oktober 2018 @ 4:48 PM