AHLI jawatankuasa Kolej Mawar, UiTM bersama murid SK Unggun pada Program Semurni Kasih.
Yusmizal Dolah Aling
cnews@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Suntik semangat sukarelawan dalam tempoh sehari. Itu yang dilakukan sekumpulan penuntut yang juga Ahli Jawatankuasa Kolej Mawar, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam menerusi Program Semurni Kasih.

Berbekalkan ilmu yang ada, mereka berkongsi rahsia kejayaan dan memberikan motivasi kepada 55 murid Sekolah Kebangsaan Unggun, Kota Kinabalu, Sabah termasuk yang menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah, baru-baru ini.

Exco Hubungan Dalaman Luaran dan Antarabangsa, Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) Mawar, Nur Ain Nadhirah Ghazali, 21, berkata, program berkenaan menjadi serampang dua mata kepada semua ahli jawatankuasa itu untuk membiasakan diri dengan program kemasyarakatan dan kesukarelawanan.


PROGRAM Semurni Kasih anjuran Jawatankuasa Perwakilan Kolej MAWAR UiTM, Shah Alam.

“Pelbagai pengisian dirangka menerusi program ini dan kami menyasarkan ia akan memberi manfaat kepada semua pihak baik penganjur atau murid itu sendiri.

“Sebelum ini kami hanya menumpukan perhatian kepada aspek kerja di kolej.

“Semua ahli jawatankuasa ini dilantik untuk tempoh setahun. Jadi kita pelbagaikan aktiviti supaya masing-masing akan ada pengalaman nanti,” katanya.

Nur Ain Nadhirah berkata, bagi mendekatkan mereka dengan masyarakat, jawatankuasa yang dianggotai seramai 17 penuntut pelbagai kursus itu juga mengadakan program gotong-royong di rumah orang tua di Selangor selain bersama anak yatim pada majlis berbuka puasa.


PROGRAM beri ruang kenali cara hidup orang luar, kenal budaya dan belajar berkomunikasi dengan pelbagai peringkat umur.

“Ini semua dapat memberikan kami gambaran sebenar hidup bermasyarakat dan membuka mata betapa masih ramai yang memerlukan bantuan daripada orang ramai.

“Kami akui program secara sukarela ini memberi ruang untuk kami mengenali cara hidup orang luar, kenal budaya dan belajar berkomunikasi dengan pelbagai peringkat umur.

“Baru kami tahu betapa aktiviti kesukarelawanan ini dapat membentuk jati diri individu. Insya-Allah selepas ini banyak lagi program bersama masyarakat yang akan kami buat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Oktober 2018 @ 10:31 AM
Skip this ad x