GAMBAR hiasan
Ahmad Suhael Adnan
ahmad.suhael@nstp.com.my


KEMENTERIAN Pengangkutan sudah menetapkan dasar untuk tidak akan menghapuskan perkhidmatan e-hailing seperti Grab, namun memberi jaminan berusaha mewujudkan persaingan adil kepada teksi.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, pendekatan kerajaan adalah untuk menyamaratakan peluang antara pengusaha teksi dan syarikat e-hailing supaya kedua-duanya dapat bersaing dengan adil.

"Pada dasarnya, kita tidak boleh menghapuskan Grab dan perkhidmatan e-hailing lain, namun kita akan menyamaratakan peluang perniagaan antara mereka dan pengusaha teksi.

"Grab bukan (ada) di Malaysia sahaja, tapi menjadi kaedah pengangkutan yang digunakan hampir di seluruh dunia, selain peranannya melengkapi kekurangan pengangkutan awam lain," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas tindakan sekumpulan pemandu teksi membantah penjelasan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu perkhidmatan e-hailing dalam satu sesi dialog di Langkawi, semalam, hingga menimbulkan kekecohan.

Dr Mahathir pada dialog itu dilaporkan berkata, Grab akan diminta menggunakan kenderaan yang diluluskan kerajaan, membayar insurans dan cukai sama seperti teksi bagi memastikan persaingan adil.

Perdana Menteri berkata, perkara itu pernah dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet dan mengarahkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke untuk memperbetulkannya, namun tiada kemajuan sehingga kini.

Tindakan sekumpulan pemandu teksi itu dibidas beberapa persatuan perkhidmatan itu yang menganggapnya tidak wajar.

Mengulas kenyataan Dr Mahathir itu, Kamarudin berkata, kementerian sudah menetapkan semua kaedah dan syarat yang dikenakan terhadap pengusaha teksi, perlu dikenakan kepada syarikat e-hailing, namun ia mengambil masa.

"Ia dilakukan secara berperingkat kerana mereka yang terbabit dengan Grab dan perkhidmatan e-hailing lain mencecah hampir 600,000 orang, jadi perlu bagi masa atau mustahil bagi PUSPAKOM dan jabatan lain untuk proses pendaftaran dan menguji kereta," katanya, menambah tempoh diberikan selama enam bulan, bermula Januari tahun depan.

Mengulas insiden kekecohan itu, termasuk tindakan segelintir pemandu teksi mengeluarkan kata kesat kepada Perdana Menteri sebelum keluar daripada majlis, Kamarudin berkata, ia tidak sepatutnya berlaku.

Berita berkaitan:

‘Boleh samakan GRAB dengan teksi’ - Tun M

Tun M kesal tindakan biadap pemandu teksi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Oktober 2018 @ 6:22 PM