MAYAT mangsa. FOTO Ihsan Bomba
Kandau Sidi
kandau@nstp.com.my

LELAKI maut dihempap paip besi ketika memeriksa bubu dipasangnya di dalam parit berdekatan loji rawatan kumbahan di Vista Perdana, di Miri, hari ini.

Mangsa, Ngau Wan Uyo, 57, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan serius.

Pegawai Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Lopeng, Terry Robson berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 9.52 pagi.

“Setibanya di tempat kejadian, didapati seorang lelaki terbaring dihempap paip besi sepanjang lebih 10 meter di tepi parit.

“Paip besi itu berada bersebelahan parit tempat mangsa memasang bubu. Ketika kejadian, paip itu dipercayai tiba-tiba bergolek dan menghempap mangsa,” katanya, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya mendapatkan bantuan jentera milik sebuah syarikat pembinaan untuk mengalihkan paip itu bagi mengeluarkan mayat mangsa.

“Mayat kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Oktober 2018 @ 3:15 PM