Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@nstp.com.my


MAHKAMAH Tinggi Melaka, hari ini mengekalkan hukuman denda RM70,000 ke atas seorang bekas pelajar kolej vokasional yang menjalankan perkhidmatan pergigian tanpa lesen, tahun lalu.

Hakim Datuk Ahmad Nasfy membuat keputusan itu terhadap Nur Farahanis Ezzaty Adli, 21, selepas menolak rayuan terhadap hukuman oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ahmad Nasfy pada penghakimannya menganggap hukuman penjara hanya wajar dilaksanakan ke atas pesalah tegar.

“Hukuman yang diputuskan hari ini mengambil kira tertuduh tidak lagi menjalankan perkhidmatan itu dalam tempoh setahun selepas dia dijatuhi hukuman denda pada September 2017.

“Saya berharap penyesalan yang awak lahirkan seperti mana yang dilaporkan di akhbar adalah ikhlas,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya percaya rayuan hukuman penjara yang difailkan KKM dibuat susulan berita itu tular selepas hukuman dijatuhkan dan mencetuskan pelbagai reaksi.


NUR Farahanis. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber

Pada 29 September 2017, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman denda RM70,000 terhadap Nur Farahanis selepas dia mengaku bersalah menjalankan perusahaan pergigian tanpa lesen​​​​​​​.

Tertuduh dari Alor Setar, Kedah didakwa menyediakan klinik pergigian swasta tanpa didaftarkan mengikut Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 di sebuah inap desa, Jalan Bukit Katil, pada 10.15 malam, 25 Januari 2017.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut subseksyen 4(1) akta itu dan boleh dihukum mengikut subperenggan 5(1)(a)(i) akta sama yang memperuntukkan denda tidak lebih RM300,000 atau penjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Kesihatan Fairuz Syuhada Amran, manakala tertuduh diwakili peguam, Haslinda Abu Bakar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Oktober 2018 @ 2:49 PM