Siti A'isyah Sukaimi
sitiaisyah@nstp.com.my


TEMPOH reman terhadap seorang daripada empat suspek kes langgar lari sehingga menyebabkan kematian kakitangan Telekom Malaysia Berhad (TM) di Shaftsbury Square, Cyberjaya dilanjutkan sehari sehingga esok.

Perintah reman terhadap lelaki warga Libya berusia 24 tahun itu yang dipercayai pemandu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Alpha Dragam di Mahkamah Sepang, hari ini.

Seorang lagi suspek lelaki warga Yaman berusia 22 tahun turut dibawa ke mahkamah namun, tiada permohonan lanjut reman dibuat ke atasnya sekaligus dibebaskan dengan jaminan polis.

Dua lagi suspek yang ditahan sama sebelum ini iaitu lelaki warga Libya berusia 20 tahun dan seorang wanita berusia 32 tahun berasal dari Sabah dibebaskan semalam dengan jaminan polis.

Pada 19 Oktober lalu, semua suspek terbabit ditahan di dua lokasi berasingan dan direman empat hari manakala, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Suspek warga Yaman ditahan di Persiaran Putra Permai Selesa, Pusat Bandar Putra Permai Seri Kembangan dan penahanan selanjutnya terhadap tiga suspek dibuat di Verdi Residence, Symphony Hills Cyberjaya.

Dalam kes langgar lari itu, mangsa Wan Amirah Wan Alias, 31, meninggal dunia di Hospital Putrajay, Khamis lalu selepas mendapat rawatan lanjut.

Berita berkaitan

Suspek langgar lari dicekup

Suspek langgar lari dicekup

Tak daya nak lihat rakaman CCTV - bapa

[UPDATE] 'Tolong cari suspek langgar lari Wan Amirah'

Mangsa langgar lari meninggal dunia

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Oktober 2018 @ 12:41 PM
DUA suspek warga asing dibawa oleh anggota polis ke Mahkamah Sepang. FOTO Mohd Fadli Hamzah