MAYAT mangsa. FOTO Ihsan APM
Zatul Iffah Zolkiply
cnews@nstp.com.my

LELAKI ditemui lemas selepas mandi bersama rakannya di Hutan Lipur Lata Tembakah, di Jertih, hari ini.

Mayat mangsa, Muhamad Najmi Naiem, 20, dari Taman Pulai Indah, Kangkar Pulai, Johor, ditemui 5.10 petang.

Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa bersama rakannya mandi di kawasan air yang cetek.

Namun, mangsa dikatakan pergi ke tempat air yang dalam untuk mandi sebelum tergelincir, jam 4.45 petang.

Sejurus itu, rakan mangsa melaporkan kejadian itu kepada penyelia hutan bertugas yang kemudiannya menghubungi pihak berkuasa.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Besut Kapten (PA) Mohd Suhaimi Awang@Mohammad berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 5.25 petang.

“Mayat mangsa bagaimanapun ditemui anggota bomba dan penyelamat serta orang kampung sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Oktober 2018 @ 10:06 PM