HUBUNGAN Jemaah Haji 11436 Hijrah Rayhar yang menunaikan ibadah itu pada 2015 masih terjalin dalam Majlis Silaturrahim dan Khatam al-Quran 2018 di Surau Bukit Jelutong. FOTO Faliq Lajim
Faliq Lajim

WALAUPUN sudah tiga tahun bersama-sama mengerjakan rukun Islam yang kelima, namun hubungan sekumpulan jemaah haji tidak terhenti sebaik pulang dari Tanah Suci.

Malah hubungan mereka itu bertambah erat apabila berjaya khatam al-Quran sebanyak 62 kali bersama-sama melalui hubungan alam maya sahaja.

Pengerusi Kumpulan Jemaah Haji 11436 Hijrah Rayhar, Mohd Aizar Kamsah berkata, idea untuk mengadakan usaha itu tercetus ketika kumpulan berkenaa khatam al-Quran di Madinah ketika menunaikan ibadah haji pada 2015.

Katanya, selepas sahaja pulang daripada menunaikan ibadah haji, beliau dan jemaah yang lain mengadakan inisiatif untuk khatam secara kumpulan melalui interaksi aplikasi Whatsapp.

"Jika mahu berjumpa agak sukar sebab ada jemaah yang tinggal di luar dari Selangor seperti, Perak, Johor dan juga Terengganu. Jadi 70 orang daripada kami terdiri daripada suami isteri mengambil seorang satu juzuk.

"Lazimnya, kita mengambil masa dua minggu untuk khatam al-Quran. Jika pasangan itu mengambil juzuk pertama, untuk khatam seterusnya, mereka akan ambil juzuk yang kedua pula. Selesai satu juzuk mereka akan tanda menandakan juzuk itu sudah selesai dibaca di dalam aplikasi Whatsapp.

"Selepas itu, jika ada masa kelapangan, kita akan berkumpul di Surau Bukit Jelutong untuk majlis khatam al-Quran dengan membaca surah-surah lazim bersama ustaz Dzulkarnain Hamzah dan Ahmad Rosli Ahmad Mokhtar yang membimbing kami ketika menunaikan haji dahulu," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di dalam Majlis Silaturrahim dan Khatam al-Quran 2018 di Surau Bukit Jelutong, Shah Alam, hari ini.

Mohd Aizar berkata, setakat ini kumpulannya itu sudah menunaikan 62 kali khatam al-Quran dan sudah empat kali majlis sedemikain dilangsungkan termasuk hari ini.

Beliau berkata, dengan melakukan ibadah ini secara tidak langsung merapatkan ukhuwah sesama jemaah haji dalam kumpulnya menerusi ibadah khatam al-Quran.

"Ketika menunaikan ibadah haji banyak kita pelajari berkenaan nilai kehidupan yang bertindak sebagai proses perpaduan umat Islam.

"Kita percaya dengan kerjasama serta semangat perpaduan yang sudah timbul ketika menunaikan ibadah haji itu membolehkan program ini bertahan sehingga kini dan pada masa-masa akan datang selain ia tidak mungkin dapat dilaksanakan tanpa nilai kerjasama antara individu dan kumpulan," katanya.

Sementara itu, kakitangan swasta yang juga jemaah menyertai khatam al-Quran itu, Nurhasmizah Ahmad Ziad, 44, berkata, program seperti ini membolehkan beliau berdisiplin dalam membaca al-Quran.

"Kadang-kadang, kita terlalu sibuk bekerja, menguruskan anak-anak sehingga tidak sempat membaca al-Quran. Namun, bila ada program ini secara tidak langsung kita akan baca walaupun sikit demi sedikit berikutan kita diberikan tempoh dua minggu untuk satu juzuk.

"Secara langsung, mendisiplinkan saya untuk satu juzuk dalam tempoh diberikan. Selalunya, saya akan cuba baca sedikit demi sedikit ketika waktu rehat selepas solat Zohor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Oktober 2018 @ 3:53 PM