GAMBAR hiasan
Farah Suhaidah Othman
cnews@nstp.com.my


KEMENTERIAN Sumber Manusia mewajibkan semua pemandu yang menawarkan khidmat e-hailing dan teksi membuat caruman di bawah Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bermula 1 November ini.

Menterinya, M Kulasegaran berkata, setakat ini hanya 5,197 daripada lebih 100,000 pemandu e-hailing dan teksi di seluruh negara mendaftar menerusi caruman itu.

Katanya, pendekatan itu bukan untuk menyusahkan pemandu berkenaan sebaliknya memberi perlindungan kepada mereka dan ahli keluarga sekiranya berlaku kejadian tidak diingini ketika melakukan perkhidmatan berkenaan.

“Sekiranya gagal berbuat demikian (mencarum), pemandu e-hailing dan teksi bakal berdepan risiko untuk memperbaharui permit perkhidmatan mereka,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Bersama Pemimpin Masyarakat PERKESO Tahun 2018 Peringkat Negeri Perak di Dewan Serbaguna, Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Sivil, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Perak, A Sivanesan dan Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Kulasegaran berkata, kementeriannya dalam proses perbincangan bersama Kementerian Pengangkutan bagi merangka mekanisme terbaik untuk menangani isu berkenaan.

“Kita dalam proses untuk mendapatkan kelulusan Kementerian Pengangkutan yang mana sebelum lesen atau pendaftaran sebagai pemandu teksi atau e-hailing diberikan, mereka perlu menunjukkan bukti sudah mendaftar dengan PERKESO, cuma mekanismenya kita perlu teliti.

“Kementerian mempunyai undang-undang menerusi akta yang ada untuk mengambil tindakan kepada pemandu (e-hailing dan teksi) namun kita belum putuskan untuk ke arah itu (mengambil tindakan).

“Tindakan diambil oleh kementerian bukan untuk menyusahkan mereka, dan kita juga tidak mahu mengambil tindakan lebih ketat, jadi apa yang kita lakukan adalah berjumpa dengan persatuan yang terbabit bagi meminta ahli mereka bekerjasama untuk mencarum,” katanya.

Kulasegaran berkata, dalam kalangan pemandu e-hailing dan teksi juga ada berdebat dan meminta untuk membuat caruman namun apabila dilaksanakan, sambutan yang diterima tidak memberangsangkan.

“Apabila meminta untuk menyumbang wang, ramai dalam kalangan rakyat Malaysia beranggapan kemalangan tidak berlaku, sedangkan kemalangan berlaku di mana-mana dan berikutan itu kita mahu membantu, bukannya menyusahkan mereka,” katanya.

Menerusi caruman itu, pemandu e-hailing dan teksi boleh mencarum menerusi empat jenis caruman setahun bermula RM157.20 hingga RM592.80.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Oktober 2018 @ 1:59 PM