BESI yang dirampas semula selepas polis menahan penganggur di Serian. FOTO ihsan Polis
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@nstp.com.my


NIAT penganggur untuk mencuri pelbagai besi di tapak projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo di Jambatan Sadong Serian, Serian, terbantut selepas ditahan polis, semalam.

Lelaki berusia 37 tahun itu dilihat dalam keadaan mencurigakan kira-kira 12 tengah malam oleh pengawal keselamatan di tapak projek berkenaan.

Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Aswandy Anis berkata, pengawal keselamatan berkenaan kemudian memaklumkan kejadian kepada penyelia tapak pembinaan untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, suspek yang bergerak solo itu mencuri pelbagai jenis besi dan dimuatkan ke dalam van.

"Penyelia tapak pembinaan menghubungi abang saudaranya untuk meminta bantuan menahan suspek sementara dia mengawasi di tapak pembinaan.

"Selepas memasukkan besi ke dalam van, suspek bergegas meninggalkan lokasi tanpa menyedari tindakannya itu sedang diperhatikan," katanya, hari ini.

Beliau berkata, van dipandu suspek bagaimanapun berjaya dipintas abang saudara penyelia tapak tidak jauh dari lokasi kejadian.

Tambahnya, suspek cuba memberikan pelbagai alasan untuk melepaskan diri namun gagal sebelum sepasukan polis dipanggil untuk membuat tangkapan semula.

"Suspek yang tidak bekerja itu ditahan polis Cawangan Kereta Peronda bersama pelbagai jenis besi yang dicuri.

"Suspek kini direman selama empat hari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Oktober 2018 @ 12:10 PM