NORHAYATI (kiri).
Suraya Roslan
cnews@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Tiada yang dapat menghalang impian wanita ini mendapatkan segulung ijazah doktor falsafah (PhD) sebelum usia 45 tahun apabilamenabung setiap hari dalam kotak pensel bagi membayar yuran.

Kecekalan Norhayati Ramlan, 44, akhirnya berbaloi apabila dia antara 5,279 graduan yang berjaya menamatkan pengajian dalam Istiadat Konvokesyen ke-58 Universiti Malaya (UM) bermula semalam hingga Selasa ini.

Ibu kepada empat anak daripada Fakulti Pendidikan itu berkata, dia mengumpul wang untuk membayar yuran dalam tempoh lebih lima bulan berjumlah RM6,000.

“Selepas menamatkan ijazah sarjana, saya nekad mahu mendapatkan PhD dan memperbaiki gred lebih baik.

“Saya mempunyai keazaman untuk mendapat PhD sebelum usia 45 tahun dan simpan wang dalam kotak pensel.
Setiap hari saya masukkan wang tidak kira jumlahnya, jika saya ada syiling saya masukkan juga walaupun jumlahnya kecil,” katanya ketika ditemui selepas istiadat berkenaan, semalam.

Beliau yang bekerja di Unit Sains dan Matematik Pejabat Pendidikan Daerah Klang berkata, sebaik wang berkenaan mencukupi dia segera berjumpa bakal penyelianya, Dr Zuraidah Abdullah dan mahu mendaftar dengan membawa wang dalam kotak pensel.

“Saya tidak tahu ketika itu perlu mendaftar menerusi dalam talian, Dr Zuraidah sangat terharu dan memeluk saya ketika itu apabila melihat kotak pensel berisi wang pendaftaran.

“Saya pernah down dan seakan mahu berputus asa untuk meneruskan pengajian selepas kematian ibu, namun Dr Zuraidah yang banyak mendorong saya untuk menamatkan pengajian walaupun dalam tempoh lima tahun,” katanya.

Sementara itu, Dr Zuraidah berkata, sebagai penyelia bukan saja perlu membimbing anak buah dalam akademi tetapi motivasi berterusan supaya mereka berjaya.

“Sebaik melihat wang dalam kotak pensel Norhayati, saya sebak dan terus memeluk dia kerana kegigihannya untuk belajar. Saya kemudian meminta dia mendaftar dalam talian dan membayar di kaunter,” katanya.

Sementara itu, penerima Anugerah Pelajaran Diraja Izzudin Aman Shah, 23, mengucapkan syukur selepas hasil titik peluhnya akhirnya berbaloi dengan pengiktirafan itu.

Apa yang mendorong anak peneroka FELDA Palong, Negeri Sembilan mendapat lima kali Anugerah Dekan di Fakulti Kejuruteraan adalah rakan yang banyak membantunya dalam pelajaran.

“Persekitaran saya dipenuhi dengan rakan yang berkebolehan dalam akademik, jika saya tidak faham sesetengah soalan, mereka rujukan utama saya selain buku.

“Selain itu pengurusan masa sangat penting walaupun saya juga banyak aktiviti luar kelas,” katanya.

IZZUDIN bersama ibunya, Noraini Abdul Latib pada Istiadat Konvokesyen ke-58 Universiti Malaya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Oktober 2018 @ 8:30 AM