MEK NAB (tengah) bersama empat cucunya.

Mohd Zulkifli Zainuddin

mohd.zulkifli@nstp.com.my

KOTA BHARU: Seorang nenek berusia 69 tahun terpaksa mengambil alih tanggungjawab menjaga empat cucunya yang baru kehilangan ibu akibat kanser perut tahap empat, Isnin lalu.

Mek Nab @ Zainab Abdul Rahman yang sudah tidak mampu untuk bekerja bagi menanggung cucunya berusia antara tujuh hingga 19 tahun, terpaksa mendapatkan belas ihsan orang ramai memandangkan menantunya, Mohd Nazula Mohamad, 45, tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Lebih menyedihkan lagi, mereka hidup dalam serba kekurangan di rumah yang daif dengan papan lantai sudah reput selain atap bocor.

Mek Nab berkata, sebelum ini, arwah anaknya, Noor Ahsmiza Hamid, 46, mengambil upah membuat bancian untuk membantu keluarga dan kerana kesusahannya itu, arwah juga terpaksa berhutang dengan Amanah Ikhtiar Malaysia.

“Anak sulung ar wah, Aiman Khan, 19, pula menjadi pembantu kedai makan bagi membantu perbelanjaan tiga lagi adiknya yang masih bersekolah. Ayah mereka hanya bekerja sendiri dengan pendapatan yang tidak tetap.

“Sejak pemergian arwah, kehidupan empat anaknya semakin sukar, tambah pula makcik sudah tidak larat untuk bekerja dengan umur makcik yang semakin tua.

“Sebelum ini, arwah yang bertungkus-lumus mencari wang untuk membantu keluarga walaupun keadaannya sakit akibat kanser,” katanya di rumahnya di Kampung Penambang, semalam.

Mek Nab berkata, arwah anak kedua daripada empat beradik itu mula disahkan menghidap kanser perut tahap empat selepas seminggu menjalani rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) pada 8 Oktober lalu.

Katanya, arwah Noor Ahsmiza sudah tiga kali menjalani pembedahan membuang ketumbuhan sejak 2015, namun beberapa minggu lalu anaknya itu mengadu sakit belakang dan sukar bernafas.

“Kami reda dengan pemergian arwah dan kini makcik pula menjadi tulang belakang untuk menjaga keempat-empat anaknya.

“Anak sulung makcik, Mohd Azahar Farok, 51, juga tinggal di bahagian bawah rumah dan hanya bekerja sebagai menjual plastik dengan pendapatan RM600 sebulan.

“Mohd Azahar sebelum ini menyewa rumah lain tetapi berpindah ke bahagian bawah rumah kami kerana pendapatannya hanya cukup untuk menanggung tiga anak berusia dua hingga 12 tahun.

“Anak yang lain berada di luar negeri dan mempunyai keluarga masing-masing,” katanya yang bingung memikirkan nasib empat cucunya yang sering merindui arwah ibu mereka.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun RHB milik Mek Nab bernombor 10301100397507.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Oktober 2018 @ 10:28 AM