KAPAL mewah Equanimity. FOTO Arkib NSTP
Rahmat Khairulrijal
cnews@nstp.com.my


MAHKAMAH Tinggi (Bahagian Admiralti) Kuala Lumpur, hari ini memutuskan kapal mewah Equanimity adalah milik Kerajaan Malaysia dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perkara itu dimaklumkan peguam Sitpah Selvaratnam yang mewakili Kerajaan Malaysia selepas Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Khadijah Idris membenarkan permohonan penghakiman ingkar terhadap pemilik kapal berkenaan.

“Mahkamah memutuskan kapal berkenaan adalah milik kerajaan kerana wang 1MDB digunakan untuk membelinya.

“Pemilik berdaftar kapal berkenaan iaitu syarikat Equanimity (Cayman) Ltd dan ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low tidak hadir untuk mempertikai dan menafikan tuntutan kerajaan, 1MDB dan dua subsidiari,” katanya ketika ditemui media, hari ini.

Penghakiman ingkar dikeluarkan selepas salah satu pihak gagal mengambil sebarang tindakan atau menjawab saman yang difailkan.

Pada 24 Ogos lalu, mahkamah membenarkan permohonan Kerajaan Malaysia dan tiga lagi untuk menjual kapal mewah Equanimity yang didakwa milik Jho Low.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Khadijah Idris membenarkan permohonan bagi mendapatkan perintah penilaian dan penjualan dikemukakan kerajaan, 1MDB dan dua subsidiarinya Global Investment Limited serta Energy Holdings Limited mengikut Perintah 29 Aturan 4 Kaedah Mahkamah 2012.

Melalui permohonan difailkan pada 6 Ogos lalu, mereka menamakan pemilik kapal dan syarikat Equanimity (Cayman) beralamat di United Kingdom sebagai defendan pertama dan kedua.

Mahkamah membenarkan permohonan itu dengan alasan bagi mengelakkan kos penyelenggaraan tinggi, selain ia boleh menyebabkan kerosakan sehingga aset itu susut nilai dan alasan keselamatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Oktober 2018 @ 8:57 PM