KEADAAN wanita warga emas yang parah akibat digilis bas. FOTO Tular Media Sosial
Mary Victoria Dass
maryvictoria@nstp.com.my


WANITA warga emas parah di bahagian kaki kanan akibat digilis sebuah bas ekspres di Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral, Johor Bahru, hari ini.

Saksi yang enggan dikenali, mangsa berusia 80-an bersama lelaki dipercayai suaminya dipercayai baru turun dari sebuah bas ekspres lain.

Menurutnya, ketika berjalan menuju ke bangunan terminal bas itu, mangsa dirempuh sebuah bas ekspres yang sedang bergerak.

Katanya, kejadian mengakibatkan bahagian bawah pinggang warga emas itu digilis kenderaan berkenaan.

“Dia yang sedang berjalan sambil membawa bagasi digilis tayar kiri hadapan dan belakang bas ekspres berkenaan.

“Wanita berkenaan mengalami kecederaan parah di bahagian kaki kanan lalu dikejarkan ke hospital dengan ambulans,” katanya.

Harian Metro setakat ini sedang berusaha mendapatkan maklum balas daripada pihak polis berhubung kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Oktober 2018 @ 7:55 PM