Pegawai kesihatan ketika membuat tinjauan sebelum meletakkan notis pembatalan kelulusan bilik merokok di ruang telaga udara bangunan Parlimen kelmarin. FOTO Sairien Nafis
Nor Afzan Mohamad Yusof
cnews@nstp.com.my

PENUTUPAN bilik merokok dalam bangunan Parlimen selaras dengan Artikel 8 Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (FCTC WHO) iaitu melindungi bukan perokok daripada bahaya asap bahan itu dan Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, penguatkuasaan peraturan itu turut membuktikan bahawa melindungi kesihatan rakyat adalah penting dan ia mesti bermula dengan institusi Parlimen.

“Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan (KKM) tidak akan menarik semula keputusan pembatalan bilik merokok di dalam bangunan Parlimen,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Dr Dzulkefly berkata, dalam kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof hari ini, larangan merokok di Parlimen antara perkara diperbincangkan.

Kunjungan hormat itu turut disertai Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye; Ketua Unit Kawalan Tembakau KKM, Dr Nor Aryana Hassan dan Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit KKM Dr Norhayati Rusli.

Dr Dzulkefly berkata, hasil pertemuan itu, mesyuarat turut bersetuju menyediakan ruang merokok alternatif sementara di luar bangunan Parlimen sehingga satu ruang merokok tetap disediakan di luar bangunan Parlimen.

Sementara itu dalam usaha mencapai sasaran ‘sifar rokok’ dalam bangunan berkenaan dan kafeteria di dalam premis Parlimen, kementerian dengan kerjasama rakan kongsi perkhidmatan berhenti merokok, mQuit akan menyediakan perkhidmatan rawatan berhenti merokok menerusi penawaran rawatan ubatan permulaan di ruang legar bangunan Parlimen.

Perkhidmatan saringan nafas dan fungsi paru-paru turut ditawarkan secara percuma.

Larangan merokok dikuatkuasakan dalam bangunan di kawasan Parlimen bermula Isnin lalu.

Inisiatif berkenaan bagi memperluaskan lagi kawasan larangan merokok di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2017.

Bagaimanapun ia menimbulkan persoalan apabila larangan berkenaan tidak dimaklumkan terlebih dahulu oleh Dr Dzulkefly kepada Mohamad Ariff.

Berikutan penguatkuasaan itu, seorang Ahli Parlimen adalah antara lapan individu dikompaun kerana merokok di Kompleks Parlimen, yang diwartakan sebagai kawasan larangan merokok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Oktober 2018 @ 10:50 PM