KENDERAAN Toyota Vellfire yang membawa Najib meninggalkan ibu pejabat SPRM di Putrajaya, hari ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Irwan Shafrizan Ismail dan Nor Azizah Mokhtar
cnews@nstp.com.my


BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya bagi membantu siasatan berkaitan pembayaran hutang dana pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Sumber berkata, Najib tiba jam 9 pagi hari ini bagi menyambung keterangan beliau berhubung siasatan kes berkenaan dan selesai memberi keterangan jam 1 tengah hari.

Kenderaan Toyota Vellfire putih dinaiki Najib dilihat meninggalkan bangunan SPRM menerusi laluan belakang jam 1.30 tengah hari.

Media sebelum ini melaporkan Najib dijangka berhadapan lebih banyak pertuduhan berhubung 1MDB dalam tempoh terdekat.

Sumber SPRM ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan dan enggan mengulas lanjut.

Selasa lalu, Najib dipanggil untuk membantu siasatan kes berkenaan berikutan terdapat penemuan baharu dalam siasatan 1MDB yang masih aktif dijalankan SPRM.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Oktober 2018 @ 2:37 PM